Disiplin Pelajar: Kerjasama Masyarakat Penting Tangani Masalah

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR - Satu jawatankuasa disiplin yang terdiri daripada wakil guru, ibu bapa, polis dan pemimpin masyarakat seharusnya diwujudkan di sekolah-sekolah dalam usaha mengekang pelbagai insiden berkaitan disiplin yang semakin meningkat di kalangan pelajar dewasa ini, kata pendidik.

Rata-rata mereka berpendapat penubuhan jawatankuasa itu perlu diwajibkan di bawah cadangan pindaan kepada peraturan-peraturan Ordinan Pelajaran.

Menurut mereka, pemimpin masyarakat termasuk ketua-ketua agama serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), juga harus bersama-sama menjadi panel jawatankuasa berkenaan memandangkan masalah disiplin di kalangan pelajar turut memberi kesan kepada masyarakat.

"Selain kaunselor, wakil-wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), polis serta wakil-wakil masyarakat juga perlu menjadi anggota jawatankuasa disiplin sekolah kerana masalah disiplin pelajar bukan sahaja memberi kesan ke atas pihak sekolah malah masyarakat setempat.

"Jika masalah ini tidak ditangani secara menyeluruh, maka pelajar liar ini akan menjadi seorang dewasa bermasalah setelah meninggalkan bangku sekolah kelak," kata Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan.

Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia Dr Wan Marzuki Wan Jaafar bersetuju dengan Mohd Ali bahawa masyarakat tempatan perlu terlibat dalam menangani isu-isu disiplin di sekolah kerana tingkah laku negatif lebih kerap daripada tidak, adalah berpunca daripada keluarga dan persekitaran hidup.

"Walaupun tanggungjawab ibu bapa adalah untuk membesarkan anak-anak dengan baik, saya rasa guru juga memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar agar menjadi warganegara yang baik dan berguna kerana mereka (pelajar) menghabiskan sebahagian besar daripada masa harian di sekolah," katanya.

LAPORAN TATATERTIB

Mereka mengulas laporan baru-baru ini yang memetik Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon sebagai berkata bahawa Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959, di bawah Ordinan Pelajaran 1957, akan dikemas kini bagi membolehkan pihak sekolah menangani isu-isu disiplin dengan cara yang seragam mulai tahun depan.

Beliau berkata penambahbaikan peraturan-peraturan itu akan meliputi isu-isu disiplin seperti buli, ponteng sekolah, mengambil dadah dan terjebak ke dalam pengaruh kumpulan-kumpulan militan.

Mohd Ali berkata Kementerian Pendidikan juga perlu mengambil kira untuk mewajibkan sekolah-sekolah supaya menyediakan laporan dari masa ke masa bagi membolehkan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan lain mengikuti perkembangan terkini mengenai kedudukan disiplin pelajar sekolah berkenaan.

Laporan itu, katanya perlu dibawa untuk dibincangkan semasa mesyuarat PIBG dan adalah menjadi tanggungjawab pengetua atau guru yang bertanggungjawab untuk menjelaskan keadaan disiplin di sekolah berkenaan.

"Tetapi mereka perlu bersikap terbuka jika menghadapi masalah disiplin dan tidak cuba menyembunyikan hakikat itu hanya kerana mahu melindungi imej sekolah tersebut," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebagai langkah pencegahan awal sebelum menjadi serius, guru kelas perlu tahu cara untuk mengenal pasti ciri-ciri pelajar bermasalah supaya mereka boleh diberi kaunseling sewajarnya.

MEROTAN IKHTIAR AKHIR

Sambil menegaskan bahawa kuasa mendisiplinkan pelajar perlu diberikan kepada semua guru, Mohd Ali berkata persepsi bahawa hanya guru disiplin boleh berbuat demikian perlu diubah.

"Tanggungjawab seorang guru bukan sahaja mengajar tetapi juga untuk menangani sahsiah murid supaya mereka membesar sebagai individu yang berperibadi baik dan serba boleh," katanya.

Berhubung laporan baru-baru ini yang memetik Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof sebagai berkata bahawa satu pekeliling dikeluarkan pada 2003 bagi membolehkan pengetua merotan pelajar yang melakukan kesalahan serius, Mohd Ali berkata pihak sekolah hanya akan bertindak mengenakan hukuman sebat ke atas pelajar setelah semua usaha seperti amaran dan sesi kaunseling, gagal mendisiplinkan mereka.

"Hukuman sebat perlu dijalankan mengikut prosedur yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan. Sebagai contoh, pelajar lelaki boleh dirotan oleh sama ada guru lelaki atau guru perempuan tetapi pelajar perempuan hanya boleh dirotan oleh guru perempuan untuk mengelakkan timbulnya isu-isu sensitif," katanya.

Sambil menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa hukuman sebat mencabul hak asasi manusia, Mohd Ali berkata masyarakat harus berfikiran terbuka dan tidak terlalu terikut-ikut dengan budaya barat kerana sistem pendidikan Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri untuk mendisiplinkan pelajar.

Katanya hukuman merotan dikenakan ke atas pelajar dengan harapan memberi kesedaran dan keinsafan agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan.

Wan Marzuki berkata selalunya, kebanyakan sekolah memilih hukuman merotan sebagai pilihan terakhir kerana tidak mahu menimbulkan kemarahan ibu bapa.

"Mungkin, pihak sekolah perlu menjelaskan kepada seluruh masyarakat bahawa hukuman sebat adalah satu cara yang berkesan dalam memberi asuhan dan didikan kepada pelajar untuk berubah dan membuka lembaran baru," katanya.

TIDAK SALAH GUNA KUASA

Bagaimanapun, katanya guru hanya perlu menggunakan rotan apabila benar-benar perlu dan tidak sama sekali menggunakannya sebagai cara melepaskan kemarahan terhadap pelajar.

"Mereka boleh menggunakan rotan untuk mendidik pelajar tetapi tidak menggunakannya sebagai jalan melepaskan geram kerana kita tidak mahu sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau juga menggesa pihak sekolah agar melihat perkembangan pelajar yang dikenakan hukuman sebat sama ada wujud perubahan positif dalam tingkah laku mereka.

"Perubahan sikap di kalangan pelajar bermasalah ini penting kerana daripada situ kita dapat lihat sama ada hukuman rotan ini memberi kesan baik atau sebaliknya. Hukuman rotan bertujuan mendidik bukannya untuk mendera atau mencederakan, jadi ibu bapa dan masyarakat harus memahaminya," katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata pengetua atau guru-guru tidak boleh menggunakan rotan sewenang-wenangnya kerana terdapat prosedur tertentu yang perlu diikuti sebelum mengenakan hukuman sebat.

"Hukuman sebat ini akan dikenakan, jika pelajar itu mengakui kesalahannya selepas siasatan dilakukan berdasarkan bukti-bukti kukuh dan sahih," katanya. - BERNAMA