Dr. Mohamad Khir Toyo Bebas Sepenuhnya Esok

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo
KAJANG – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo yang menjalani tempoh parol selama dua bulan sejak Mac lepas, akan dibebaskan pada Jumaat ini.

Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, Dr. Mohamad Khir akan menandatangani dokumen pembebasannya di Pejabat Parol Daerah Klang pada 10 pagi hari berkenaan.

“Mengikut tarikh pembebasan, beliau sepatutnya dibebaskan pada 29 Mei ini tetapi memandangkan ia jatuh pada hari cuti umum, kita akan membebaskan beliau pada 27 Mei ini,” katanya.

Abdul Aziz pada sidang media di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di sini, hari ini berkata, Dr. Mohamad Khir turut mematuhi kesemua 41 syarat parol yang ditetapkan sepanjang menjalani perintah tersebut.

“Dalam tempoh itu, Dr. Mohamad Khir menjalani program intervensi iaitu hadiri pelbagai program kemasyarakatan yang merupakan sebahagian daripada usaha membawa semula bekas banduan ke dalam masyarakat.

“Serta pada masa sama beliau tidak melanggar mana-mana syarat yang dikenakan ke atasnya seperti melaporkan diri seminggu sekali di Pejabat Parol Daerah Klang.”

Dr. Mohamad Khir, 51, menjalani hukuman penjara 12 bulan bermula 29 September 2015 setelah Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah menggunakan kedudukannya sebagai menteri besar.

Beliau didakwa memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam untuk diri dan isteri yang bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta, di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Beliau kemudian menjalani perintah parol bermula 29 Mac lepas setelah menjalani enam bulan hukuman penjara.

Dr. Mohamad Khir yang merupakan Menteri Besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008 didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, dan menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata Jabatan Penjara tidak pernah memilih kasih dalam menentukan mana-mana banduan yang layak mendapat parol kerana perintah itu ditentukan oleh Lembaga Parol mengikut syarat yang ditetapkan.

Antara syarat itu ialah hukuman penjara yang dikenakan harus lebih daripada setahun serta kesalahan yang dilakukan bukan dalam kategori kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat Akta Penjara 1995.

“Justeru itu, tidak timbul dakwaan mengatakan Jabatan Penjara pilih kasih. Saya berharap masyarakat faham bagaimana sistem parol ini berfungsi dan tidak mempolitikkannya,” katanya.

Abdul Aziz berkata sejak sistem parol dilaksanakan pada 26 Julai 2008, seramai 13,160 banduan dibenarkan menjalani baki hukuman di luar penjara dengan 625 orang daripadanya sedang menjalani perintah itu. – BERNAMA