Dr Zakir Naik Dari Sudut Pandang Anak Didik


Persoalan mengenai pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik mula wujud selepas penulis berpeluang mengikuti ceramah beliau di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, 16 April lalu. Bayangkan beliau yang berusia 51 tahun mampu berdiri menyampaikan ceramah bermula pada pukul 9 malam, 16 April yang kemudiannya disambung pula dengan sesi soal jawab sehingga pukul 2.30 pagi, 17 April.

Daya ingatan Dr. Zakir juga amat mengagumkan, soalan yang ditanya kepada beliau umpama ‘kacang’, jawapan yang diberikan dengan petikan daripada al-Quran disertai perbandingan dengan kitab Bible, kitab Veda (kitab suci agama Hindu) malah dilengkapi dengan hujah serta teori Sains pula.

Tidakkah penat beliau berdiri tegak di atas pentas sambil tangan diletakkan di bawah paras dada sehingga enam jam sambil menjawab lebih 30 soalan tanpa henti daripada penonton, malah ketika sesi itu berlangsung beliau juga langsung tidak ke tandas.

Selain itu, ilmu apa yang dipakai sehingga lebih 30,000 penonton tanpa berganjak mengikuti ceramah beliau, beliau bukan seorang lelaki yang mempunyai wajah yang menarik seperti Shah Rukh Khan tetapi semua seolah-olah terpaku dengan gaya beliau berceramah.

Penulis yang baru berjalan selama lebih kurang sejam dari Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sungai Besi untuk menumpang kereta rakan yang diletakkan di sana selepas selesai ceramah Dr. Zakir sudah menggeletar lutut, bagaimana Dr. Zakir mampu bertahan berdiri selama enam jam?

Selain itu, pada program ce­ramah tersebut beberapa orang anak didik Dr. Zakir turut me­nyampaikan cera­mah pembukaan, gaya mereka persis Dr. Zakir, jadi bagaimana agaknya personaliti Dr. Zakir sebagai seorang pendidik?

Lantas, Abu Shariz Sarajun Hoda, 37, seorang anak didik Dr. Zakir yang mengenali pendakwah bebas itu sejak 2012 membuka cerita.

Abu Shariz juga bertuah kerana dapat berguru secara terus dengan Dr. Zakir dan menghabiskan masa dengan beliau selama lebih kurang dua bulan bermula Januari lalu setelah terpilih untuk mengikuti International Daie Training Programme (IDTP) di Mumbai, India.

Dalam program yang merupakan rancangan realiti televisyen terbitan Peace TV itu katanya, Dr. Zakir berkongsi ilmu dengan 20 anak didik dari seluruh negara termasuk Malaysia dengan matlamat untuk melahirkan lebih ramai pendakwah antarabangsa.

“Dr. Zakir sebagai seorang guru garang dia lain macam, minggu pertama di dalam latihan saya rasa macam nak menangis, ketegasan dia dalam menyampaikan ilmu memang tidak sama dengan guru-guru lain. Seumur hidup kalau kita tidak pernah kena marah dengan dia kita akan kena.

“Garang dan tegas dia itu sampai kalau terlena kita akan mimpi dia namun itulah dia Dr. Zakir, dia mahu yang terbaik dalam semua aspek, malah jangan ada yang terkejut apabila Dr. Zakir juga mahir dalam selok-belok penerbitan televisyen sehingga dia mampu menegur kakitangan Peace TV yang melakukan kesilapan, dia serba boleh,” katanya ketika ditemui di Masjid Negara baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Abu Shariz memberitahu, pada hari pertama program IDTP itu, dia turut berta­nyakan kepada Dr. Zakir bagaimana beliau memperoleh stamina luar biasa sehingga mampu berceramah sehingga berjam-jam lamanya.

Abu Shariz memberitahu, jawapan Dr. Zakir ketika itu amat ringkas iaitu semuanya datang dengan pertolongan Allah.

Ketika itu Abu Shariz berkata, dia masih belum berpuas hati dengan jawapan yang diberikan lantas pada keesokan harinya dia bertanyakan lagi soalan yang sama kepada Dr. Zakir.

Selepas berulang kali ditanya soalan yang sama, akhirnya Dr. Zakir menjawab persoalan itu dengan memetik surah Ali Imran ayat 160 yang bermaksud “Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada orang yang boleh mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu, maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu selain daripada Allah. Ke­rana itu hendaklah kepada Allah saja orang mukmin bertawakal.”

Kemudian kata Abu Shariz, Dr. Zakir menyambung, dalam surah Al Ankabut ayat 69, “Jika kamu berjihad untuk (mencari keredaan) Allah, Allah akan benar-benar menunjukkan kepadamu jalan-Nya.”

Dan yang ketiga, Dr. Zakir memberitahu, Allah berfirman dalam surah Al-Anbiya ayat 7, “Maka bertanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.”

Selepas diberi penerangan begitu katanya, baru dia lebih memahami bagaimana Dr. Zakir memperoleh kekuatan rohani dan jasmani untuk meneruskan program dakwah di seluruh dunia.

Sebenarnya, kata Abu Shariz, tiada rahsia besar yang disimpan untuk menjadi hebat seperti Dr. Zakir yang hanya tidur lebih kurang lima jam seminggu itu.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi seperti Dr. Zakir dengan syarat semuanya itu datang dengan pertolongan Allah. Bagaimanapun untuk meminta pertolongan Allah seseorang itu perlu menjaga solat, sentiasa berzikir, mempunyai hati yang bersih dan sentiasa mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.

“Dr. Zakir selalu berpesan perkara tersebut ketika kami berada di dalam program IDTP, jika seseorang melanggar perintah Allah dikhuatiri pertolongan daripada Allah tidak akan datang,”jelasnya.

Malah, katanya, nasihat Dr. Zakir supaya setiap daripada anak didik­nya meminta pertolongan daripada Allah itu juga seharusnya dipraktikkan di dalam kehidupan seharian umat Islam.

“Masalah kita selalunya pertolongan daripada Allah kita letakkan di akhir sekali, kita mohon pertolongan manusia itu kesilapan yang banyak kita lakukan,” katanya.

Walaupun kini Dr. Zakir berada jauh dari Malaysia namun kata-kata pesanan beliau yang disampaikan melalui anak didiknya itu ternyata tepat, menikam ke jantung.

Sumber: Utusan