Dugong |
Pembangunan secara meluas di selatan Johor, di kawasan yang pernah menjadi lokasi popular bagi makanan haiwan mamalia ini bagaimanapun telah membawa kepada bilangannya yang semakin berkurangan.
Sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, nelayan tempatan sering melihat kelibat haiwan ini di kawasan tersebut yang kaya dengan rumput laut, makanan utama dugong.
Ketua nelayan Kampung Sungai Simpang Arang Tang King Tong, 68, menceritakan kejadian pada tahun 2004 di mana anak dugong seberat 30kg terperangkap dalam jala.
"Kami meminta nelayan itu untuk melepaskan dugong itu semula ke laut kerana ia masih kecil. Ibunya telah merayau dekat dengan pantai, seolah-olah menunggu anaknya," katanya dalam satu temu bual.
Tang mendakwa sudah menjadi amalan biasa bagi masyarakat Orang Asli zaman dahulu untuk makan daging dugong, yang rasanya seperti daging lembu.
"Orang asli juga akan mengukir tulangnya menjadi bentuk paip," katanya, mengaitkan amalan ini dengan kepercayaan bahawa menghisapnya seperti rokok akan membantu mengurangkan suhu badan apabila seseorang itu mengalami demam panas.
Rolen menunjukkan jenis rumput laut yang biasa dimakan oleh dugong berhampiran kampungnya di Gelang Patah. |
Tang, yang telah tinggal di kampung itu sejak berkahwin dengan isteri Orang Aslinya pada tahun 1960, mendakwa terdapat kira-kira 200 hingga 300 ekor dugong lima dekad yang lalu tetapi bilangannya telah menurun sebanyak lebih dari separuh.
"Selain dugong, buaya, penyu dan ikan lumba-lumba juga biasa dilihat di perairan Gelang Patah, terutamanya berhampiran Pulau Merambong yang kaya dengan rumpai laut.
"Rumput laut ini adalah tempat kegemaran untuk pembiakan udang, ketam dan kuda laut kerana hidupan laut ini boleh menyamar di dasar laut atau bersembunyi daripada pemangsa mereka di sana," katanya.
Dia bagaimanapun percaya bahawa bilangan hidupan laut ini telah menurun akibat penambakan tanah.
Seorang lagi nelayan Rolen Oni, 35, berkata dia mula-mula melihat dugong hampir 5 meter panjang, ketika berusia kira-kira 16 tahun.
"Tiga ekor dugong dewasa telah mati kerana cedera terkena kipas kapal berhampiran kawasan pelabuhan.
"Malah ada yang menawarkan ganjaran wang kepada nelayan kampung jika mereka berjaya menangkap dugong hidup," dakwanya.
Ketua nelayan Kampung Pendas Laut Azman Adan, 45, berkata kawasan dari Tanjung Kupang ke Tanjung Adang ibarat taman kegemaran dugong sebelum projek pembangunan pelabuhan dibuat di kawasan itu.
"Dulu nelayan selalu nampak dugong di dasar laut semasa air surut tetapi kini ia jarang-jarang berlaku," kata Azman, yang telah turun ke laut sejak berusia 13 tahun.
Dugong terbaharu yang dikesan adalah pada 5 Mei lalu apabila satu bangkai ditemui terapung di laut dekat kawasan kampung selepas ia mengalami kecederaan dipercayai tersangkut pukat.
Sumber: mStar