Dulu PAS Guna Nama PR, Bolehlah Dapat Undi Banyak - Kit Siang

Penasihat DAP, Lim Kit Siang (kiri)
KUALA LUMPUR – DAP mengulangi pendirian bahawa Pakatan Harapan tidak perlu tunduk kepada PAS dalam isu Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang sekali lagi menegaskan bahawa Pakatan Harapan tidak perlu bimbang perlu bertanding tiga penjuru sekiranya PAS turut bertanding dalam pilihan raya tersebut.

“Ramai berharap pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) tetapi ia tidak mungkin berlaku dan ia juga bukan satu keputusan politik terbaik.

“Benar undi diperoleh calon PAS di Kuala Kangsar dan Sungai Besar dalam Pilihan Raya Umum 2013 adalah yang tertinggi diperoleh calon PAS tetapi waktu itu mereka bertanding atas nama Pakatan Rakyat, bukan atas nama PAS,” ujarnya dalam satu kenyataan media semalam.

Justeru, kata Kit Siang, DAP yakin undi kepada calon PAS akan merosot dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun ini kerana bukan Melayu dan sebahagian kaum Melayu sendiri tidak akan mengundi parti itu.

Malah, tegasnya, kaum Melayu dan bukan Melayu terbabit tidak akan mengundi PAS kerana parti itu yang bertanggungjawab memecahkan Pakatan Rakyat yang kini digantikan oleh DAP dengan Pakatan Harapan.

Terdapat desas-desus kumpulan tertentu dalam Pakatan Harapan dipercayai diketuai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu menghalang Pakatan Harapan bertanding dalam dua PRK berkenaan.

Mohamed Azmin dipercayai mengambil tindakan itu bagi mengambil hati PAS supaya kembali menyertai gabungan parti pembangkang demi kepentingan peribadinya kerana khuatir kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor boleh terjejas tanpa sokongan PAS.

Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan PAS dibubarkan tahun lalu bagi menyingkirkan PAS daripada gabungan parti pembangkang gara-gara keengganan PAS tunduk kepada desakan DAP dan PKR dalam bebeberapa isu membabitkan akidah Islam.

DAP dan PKR kemudian menubuhkan gabungan baharu parti pembangkang dikenali sebagai Pakatan Harapan yang turut dianggotai parti baharu iaitu Parti Amanah Negara (PAN). PAN kononnya menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam Pakatan Harapan.

PAN ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang meninggalkan parti itu kerana mahu terus bersengkongkol dengan DAP dan PKR selain terlalu taksub dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat seorang lelaki. –Kedahnews.com