Gambar Hiasan |
Loji yang terletak di Kuala Ketil itu akan menjadikan tanah pertanian sebelum ini kepada tapak perindustrian dan menyokong taman perindustrian yang terdapat di Kulim, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra Datuk Mark Ling.
"Kepentingan mempunyai loji solar di Kedah adalah ia dapat menempatkan ladang panel solar 50MWAC yang pertama dan akan menjadi terbesar di Malaysia," katanya kepada Bernama.
Edra, diambil alih oleh General Nuclear Power Corp, China dengan nilai RM9.83 bilion baru-baru ini -- pelaburan asing tunggal terbesar di Malaysia -- gembira untuk berkongsi pengalaman luas kumpulan itu di Malaysia seperti dalam skim tenaga boleh diperbaharui yang besar, katanya.
"Loji tenaga solar itu juga untuk memenuhi dasar campuran bahan api kerajaan, iaitu perlu ada campuran arang batu dan gas dan mungkin hidro sejajar dengan usaha untuk mengurangkan kesan pelepasan karbon," katanya.
Ling menyifatkan solar, tenaga boleh diperbaharui, sebagai program tenaga boleh diperbaharui yang paling sesuai di negara ini.
Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga telah menyediakan semua garis panduan dan proses untuk membida campuran tenaga boleh diperbaharui yang akan dilaksanakan, tenaga boleh diperbaharui yang berterusan setiap tahun, setengah tahun berdasarkan segmen berlainan negara untuk dilaksanakan dan tanah menjadi faktor penting.
Ling berkata Kedah yang mempunyai banyak tanah rata di tempat yang sesuai terbukti menjadi lokasi untuk loji solar berbanding negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu yang lebih berbukit.
"Kestabilan tanah amat penting. Oleh itu, Kedah dan Perlis adalah pilihan pertama," katanya.
Beliau memuji kerajaan negeri Kedah atas sokongan yang amat menggalakkan kepada program Edra terutamanya dari segi penukaran tanah seluas 200 ekar (80 hektar) untuk projek itu.
Kewujudan loji itu juga dijangka memberi rangsangan yang besar kepada tahap perindustrian negeri selain kenyataan tenaga hijau Suruhanjaya Tenaga dan program hijau Malaysia.
Ling berkata loji itu juga akan meningkatkan pembangunan tempatan di kawasan tersebut untuk masyarakat seperti menyediakan peluang pekerjaan dan kesan limpahan yang lain.
"Ia juga akhirnya akan menjadikan banyak tanah pertanian di negeri itu kepada tanah perindustrian. Selain daripada pelaburan pembangunan tanah, juga ternyata penduduk berpindah untuk menetap di Kedah kerana akan terdapat perniagaan diwujudkan daripada peluang pekerjaan," katanya. - BERNAMA