Felda United Teratas, Kedah Ditangga Ke-5 Liga


KUALA LUMPUR - Felda United FC mengekalkan kedudukan teratas Liga Super selepas menang tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Rabu malam.

Kemenangan kesembilan yang diraih skuad 'The Fighters' menyaksikan mereka terikat 27 mata dengan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), namun berada di puncak liga menerusi kelebihan jaringan.

Pada aksi malam ini, Felda United selesa mendahului 2-0 menerusi gol Francis Forkey Doe pada minit ke-31 dan Muhammad Hadin Azman pada minit ke-60 sebelum Reinaldo Lobo mengurangkan defisit jaringan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung perlawanan.

JDT yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala FA Sabtu lepas, mengekalkan rekod cemerlang di laman sendiri setelah menewaskan Pahang FC 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Mohd Amirulhadi Zainal membuka tirai jaringan untuk skuad Harimau Selatan pada minit ke-54 sebelum penyerang import dari Argentina, Juan Martin Lucero menjaringkan dua gol iaitu menerusi sepakan penalti minit ke-62 dan gol padang, selang dua minit kemudian.

Kedah pula kembali meraih kemenangan setelah menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar hasil jaringan penyerang import dari Brazil, Carlos Eduardo pada minit pertama dan minit ke-20.

Di Stadium Shah Alam, Selangor gagal memanfaatkan kelebihan selepas lawan bermain dengan 10 pemain sejak pertengahan babak pertama, apabila seri tanpa jaringan ketika menentang Kelantan.

Pasukan pelawat sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pengadil, Syed Razak Syed Kamal melayangkan kad merah kepada Wan Zack Haikal Wan Nor kerana menyiku R. Gopinathan pada minit ke-26.

Dalam pertemuan 'abang-adik' di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu FA dan Terengganu FC II masing-masing meraih satu mata setelah seri tanpa jaringan.

Dalam pada itu, Sarawak mengesahkan slot ke saingan Piala Malaysia setelah menang tipis 3-2 ke atas Perak di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.

Tiga gol skuad 'Ngap Sayot' dijaringkan Ndumba Makeche pada minit ke-10 dan Gilmar Da Silva pada minit ke-48 dan 80.

Perak meraih jaringan menerusi sentuhan penyudah Mohamad Fazrul Hazli pada minit ke-25 dan sepakan penalti yang disempurnakan Elias Fernandes pada minit ke-70.

Sumber: mStar