Terdapat satu festival 'mistik' yang agak pelik diadakan di Sulawesi, Indonesia pada saban tahun iaitu perayaan menggayakan rangka mayat dengan pakaian cantik dan bersih oleh ahli keluarga mereka yang masih hidup.
Perayaan Ma’nene yang diwarisi daripada kumpulan etnik Toraja ini menyaksikan mereka menggali kubur nenek moyang dan kemudiannya menghias rangka mayat yang telah meninggal dunia sejak puluhan tahun dengan pakaian sebagai salah satu tanda hormat buat si mati.
Festival yang turut dikenali sebagai perayaan membersihkan mayat itu mengandungi beberapa proses utama iaitu seperti memandi, menghias dan memakaikan pakaian sebelum ‘mayat hidup semula’ itu diusung ke seluruh kampung untuk tontonan orang ramai.
Walaupun situasi itu mungkin agak menyeramkan bagi sesetengah pihak namun ia sama sekali tidak menganggu waris-waris si mati, bila mana mereka menganggap festival itu merupakan satu perayaan yang perlu dijalankan pada setiap tahun.
Menurut seorang jurugambar, Herman Morrison yang sempat membidik foto-foto unik tersebut, perayaan itu adalah tanda hormat yang ditunjukkan golongan masih hidup kepada yang sudah tiada.
“Saya tinggal di Lombok dan menggembara ke Sulawesi semata-mata untuk mengambil gambar sepanjang festival Ma’nene ini berlangsung.
“Ritual ini diadakan pada setiap tahun sebagai tanda simbolik suku kaum Toraja untuk nenek moyang mereka.
“Usia mayat-mayat ini berbeza, ada yang mungkin sudah meninggal sejak 100 tahun lalu. Rangka mereka dibawa pulang ke rumah kemudiannya dibersihkan dan selepas perayaan berakhir, ‘tubuh’ mereka akan dibawa masuk semula ke dalam kubur.
“Ada di antara mayat lelaki digayakan dalam persalinan sut dengan tali leher. Ia adalah satu pemandangan yang cukup unik dapat saya saksikan setakat ini,” kata Herman. –Kedahnews.com