DHAKA - Kedaifan hidup keluarga remaja perempuan yang mengalami sindrom 'serigala jadian' mendorong mereka merayu bantuan kewangan bagi membolehkan Bithi Akhtar menjalani rawatan dan kehidupan normal.
Remaja berusia 12 tahun itu dilahirkan dengan wajahnya dipenuhi bulu, radang gusi selain mempunyai payudara terlalu besar dan menyebabkan dia sukar berdiri.
Bithi menghidap sindrom Byars-Jurkiewicz dan hipertrikosis.
Wang yang diperoleh itu bagi membolehkan Bithi menjalani rawatan, termasuk mengecilkan payudara, mengawal gusinya yang bengkak dan terapi hormon untuk bulu serta rambut.
Ibunya Beauty Begum berkata, sindrom itu menyebabkan Bithi sukar untuk meneruskan pembelajaran di sekolah.
“Kami pada awalnya menganggap ini takdir Tuhan, namun saya tidak sanggup melihat dia menderita seperti ini.
“Kami yakin dia mampu menjalani kehidupan normal selepas semua itu dilakukan,” katanya.
Sementara itu, doktor di Universiti Perubatan Bangabandhu Sheikh Mujib, Fakhrul Alam berkata, hanya empat atau lima orang di seluruh dunia menghidap hipertrikosis.
Universiti berkenaan membantu kos rawatannya, tetapi keluarganya masih memerlukan wang.
Ayahnya Abdul Razzak, pemandu teksi berkata: “Saya membelanjakan lebih 80,000 taka (RM4,000) untuk ubat termasuk mengambil pinjaman bank. Kini saya tiada wang untuk rawatan susulannya.”
Sumber: mStar