BALING – Kehadiran gajah liar di kawasan Kampung Batu 8, di sini sejak tiga bulan lepas, semakin meresahkan penduduk di kampung itu.
Gajah itu bukan sahaja memusnahkan lebih 2,000 pokok pisang yang sedang berbuah dan kira-kira 1,000 pokok kelapa sawit, malah kini sudah berani menghampiri rumah penduduk di kampung berkenaan terutama pada waktu malam.
Penduduk mendakwa walaupun aduan telah dibuat, tidak ada tindakan diambil pihak berkuasa termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah Baling.
Berikutan itu, pemilik tanah yang mengusahakan tanaman pisang hanya mampu menghalau gajah berkenaan yang dipercayai cuma seekor, dengan membakar mercun.
Seorang petani yang mengusahakan tanaman pisang dalam kebuh getahnya, Yahya Mat Isa, 55, berkata sebanyak 200 pokok pisangnya yang sedang mengeluarkan hasil dimusnahkan gajah sepanjang tiga bulan ini.
“Saya tidak berani membuat sebarang tindakan selain memberitahu Jawatankuasa Keselamatan Kampung untuk melaporkan kepada pihak berwajib,” katanya.
Sementara itu, Yaakub Saad, 67, turut mengakui tidak ada sebarang tindakan dan bayaran ganti rugi dari mana-mana pihak walaupun tanaman tersebut ditanam di tanah persendirian.
“Ada pihak mendakwa mereka tidak boleh bertindak kerana gajah itu memusnahkan tanaman yang ditanam di atas tanah milik kerajaan,” katanya.
Yaakub berharap masalah dan kerugian penduduk di kampung itu dan sekitarnya yang menerima nasib yang sama, mendapat perhatian pihak berkuasa.
“Saya sendiri kerap menghubungi pegawai Perhilitan yang berpusat di Belantik, Sik, namun mereka juga ada masalah untuk datang kerana di Baling ada Pejabat Perhilitan sendiri,” katanya.
Sumber: mStar