Guna Laluan Kecemasan: Lelaki Maut, Wanita Parah Di Sg Petani

Gambar Hiasan
SUNGAI PETANI — Seorang lelaki maut manakala rakan wanitanya, yang memandu lori cedera parah selepas lori dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan bersama empat kenderaan lain di KM111 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, pada 7.15 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Zaidi Mansor, 37, manakala rakannya yang belum dikenal pasti identitinya, kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

“Kemalangan terbabit melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah treler, sebuah lori dan tiga kereta masing-masing jenis Perodua Viva dan Hyundai.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dari arah Butterworth menghala Alor Setar, yang bergerak perlahan di laluan kecemasan kerana tayar pecah, dilanggar dari arah belakang oleh lori dinaiki mangsa bersama rakannya, tiga buah kereta yang tidak sempat mengelak kemudiannya melanggar lori terbabit,” katanya kepada Bernama, semalam.

Md Zukir berkata, akibat kemalangan itu, penumpang lori maut di tempat kejadian, rakannya parah, manakala pemandu kenderaan lain hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat mangsa dibawa ke HSAH untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.– BERNAMA