Antara peserta yang hadir mendengar forum berkonsepkan ilmu keibubapaan yang mendapat perhatian ramai. |
SUNGAI PETANI – Ibu bapa disarankan menyelidik unsur makanan yang diberikan kepada anak-anak bagi mengelakkan terjebak menyediakan makanan dari unsur haram sekali gus mengakibatkan kesan yang tidak baik.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Daerah Kuala Muda, Abdul Hamid Abdul Kadir berkata, yang menjadi persoalan bukan sumber makanan itu sahaja yang perlu dititikberatkan sama ada halal atau haram tetapi unsur makanan itu sendiri.
Menurutnya, makanan dari unsur tidak sihat boleh mengakibatkan anak-anak tidak mampu diasuh secara baik sehingga memberi cabaran buat ibu bapa.
“Soal pemakanan anak-anak juga perlu diberi penekanan termasuk penyediaan makanan yang berpunca dari unsur tidak halal,” katanya ketika hadir ke Forum Komuniti Keluarga Bahagia anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Perkim.
Forum dikendalikan moderator, Akhmar Mahadher yang turut disertai panel Ustazah Faridah Ahmad dari Jabatan Mufti Negeri Kedah dan Dr Umai Kalsom Hashim merupakan Sukarelawan Salimah/mantan pegawai kesihatan daerah dengan tajuk Teras Keluarga Kasih Sayang.
Abdul Hamid berkata, unsur makanan tidak halal seperti contoh ternakan ayam, lembu dan kambing yang diberikan makanan dari punca yang tidak diketahui unsurnya boleh menyebabkan anak-anak keras hati dan sukar mendengar kata.
“Apabila diberikan makanan tidak baik, maka hasilnya juga tidak baik, sama seperti dalam konteks membesarkan anak-anak.
"Makanan dari unsur haram memberi kesan buruk terhadap perkembangan akhlak dan sahsiah anak-anak sekali gus membebankan ibu bapa," katanya.
Forum sesi kedua disertai penceramah, Mohd Murtadha Mohd Yusoff dan Profesor Emeritus Datuk Dr Amir Awang dengan tajuk Teras Keluarga Berakhlak.
Peserta yang melebihi sasaran mencecah 170 orang pada program berkenaan menunjukkan kesedaran untuk lebih ramai ibu bapa melibatkan diri dalam meningkatkan pengetahuan dan pembelajaran dalam soal mendidik anak-anak.
Turut diadakan, pemeriksaan kesihatan dan pameran LPPKN, pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan kaunter sumbangan Perkim.
Majlis yang bermula jam 9 pagi berakhir kira-kira 1 petang.
Sumber: Sinar Harian