#HARIGURU2016: Perlu Mampan, Tepati Standard Kualiti Pendidikan


KOTA KINABALU - Tahap profesionalisme warga pendidik di sekolah perlu mampan sehingga menepati Standard Kualiti Pendidikan Malaysia, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir berkata perubahan itu penting kerana dengan pelbagai cabaran abad ini, guru perlu sentiasa berusaha untuk lebih cemerlang dalam profesion mereka.

Untuk itu, pembelajaran berterusan perlu sentiasa dilakukan melalui inisiatif kendiri seperti dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan agar guru mempertingkatkan kualiti dan keterampilan dari segi pengetahuan, sikap dan nilai positif, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2016 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini Isnin.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata kementeriannya telah memperkenal satu inisiatif iaitu 'Menjadi Guru Malaysia' sebagai usaha mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.

Beliau berkata ini dapat dilaksanakan melalui pernyataan membudayakan kecemerlangan berasaskan teladan rakan setugas dan proses pensijilan mulai 2025.

"Saya berharap menerusi inisiatif ini, profesion keguruan akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa," katanya dan menambah pelaksanaan inisiatif itu dibuat secara berperingkat.

Beliau berkata semua guru juga perlu menerapkan budaya kerja berprestasi tinggi, meningkatkan keberhasilan dan akauntabiliti serta menambah baik kaedah pengurusan bagi merealisasikan sasaran gelombang kedua dan ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), dapat direalisasikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahdzir berkata Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) akan dimulakan pada tahun depan yang antara lain mengaplikasikan ciri-ciri pembelajaran abad ini iaitu komunikasi, pemikiran kritis, hubungan kolaboratif dan kreativiti.

"Kualiti dihasratkan terhadap pelajar hanya mampu dicapai jika guru turut melengkapkan diri dengan kemahiran alaf baharu sebagai usaha membina satu pengajaran mantap," katanya.

Mahdzir juga mengingatkan semua guru agar peka terhadap potensi dan minat pelajar supaya mereka dapat dibimbing untuk memilih aliran sesuai selain memastikan potensi sebenar pelajar digilap serta dikembangkan secara maksimum. -  BERNAMA