Hotel 5 Bintang Di Bawah Tanah Bernilai RM1.9 Bilion


China sudah lama menjadi peneraju sektor pembinaan, daripada rekaan unik pencakar langit, perumahan sehingga ke seluruh bandar yang mengagumkan dunia.

Nampaknya projek pembinaan di negara itu menjadi semakin berdaya cipta, apabila konsep hotel lima bintang yang dibina di tapak kuari terbiar menjadi kenyataan.

Kerja pembinaan hotel kuari InterContinental Shimao di kaki Gunung Tianmenshan di Songjiang, sebuah daerah di Shanghai, timur China giat dijalankan.


Kompleks bernilai £345 juta (RM1.9 bilion) yang direka firma Britain, Atkins itu mempunyai 19 tingkat dengan 370 bilik untuk dinikmati golongan elit China.

Dua tingkat bangunan itu akan berada di atas tanah, manakala, 17 aras lagi di dalam tanah, sementara dua aras ke bawah akan berada di dalam air, lengkap dengan akuarium, restoran dan bilik tetamu berdinding kaca.


Sebuah kolam renang dan pusat sukan juga akan dibina termasuk beberapa buah restoran, dewan bankuet dan bilik persidangan untuk mesyuarat.

Struktur bangunan itu direka untuk sebati dengan pemandangan semula jadi termasuk bumbung hijau mesra alam yang akan ditanam dengan pelbagai pokok di atasnya.

Hotel itu yang dijangka siap pada 2017 akan mempunyai altitud sebenar 79 meter di bawah tanah dengan harga bilik bermula sekitar £200 (RM1,100) semalam.

Sumber: myMetro