Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon |
KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon semalam berkata, Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong yang mengumumkan keluar parti semalam tidak sepatutnya mengikut emosi semasa membuat keputusannya sebagai reaksi terhadap isu hudud.
Katanya Yong Kong yang merupakan seorang anggota Exco Kerajaan Kedah sepatutnya turut bersama-sama dalam menerajui barisan kepimpinan MCA.
"Wira sebenar terus berjuang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pengajian Tinggi di sini, semalam.
Sin Woon turut memaklumkan bahawa Pengerusi MCA Kedah, Datuk Lee Chee Leong, telah bertemu dengan Leong bagi membincangkan perkara itu.
Semalam, Leong yang merupakan Adun Gurun, mengumumkan keluar daripada MCA dalam satu sidang media di Alor Setar kerana tidak berpuas hati dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan 2016) di Dewan Rakyat Khamis lepas.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai RUU itu, Sin Woon berkata, MCA tidak berhasrat untuk campur tangan dalam hal ehwal Islam dan Barisan Nasional (BN) masih berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan.
"Saya tegaskan bahawa kami tidak menentang Islam dan jangan jerumuskan kami ke dalam konflik agama. Ini adalah pendirian BN dan ia tidak pernah terjejas. Isu hudud bukan agenda kita tetapi Pas," katanya. - Bernama