Ibu Faham Kehendak Rakyat, Teruskan Legasi Bapa Di Kuala Kangsar - Anak

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan watikah perlantikan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar kepada Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il yang mewakili ibunya Mastura Mohd Yazid pada majlis pengumuman calon BN di Pusat Arahan BN di Safari Resort, Kuala Kangsar, Sabtu.
ALOR SETAR - Anak sulung Datin Mastura Mohd Yazid  yakin bahawa ibunya yang terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar sangat arif tentang apa yang diperlukan oleh masyarakat di parlimen berkenaan.

Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar berkata, meskipun dia agak terkejut dengan pencalonan tersebut, namun pengalaman Mastura yang sering disamping arwah bapanya menjadikan ibunya mampu meneruskan legasi dan perjuangan arwah kepada masyarakat di Kuala Kangsar.

"Biarpun kami masih berkabung dengan kehilangan arwah papa tetapi kita perlu meneruskan kesinambungan dan legasi arwah papa sebelum ini.

"Ibu kami selalu berdamping dengan arwah papa 24 jam dan beliau lebih memahami apa yang warga Kuala Kangsar perlukan," katanya.

Wan Emir Astar berkata, dia dan tiga lagi adik beradik akan turut membantu Mastura sepanjang kempen PRK di parlimen itu ekoran ibu mereka itu masih lagi di dalam edah setelah kematian bapa mereka.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar yang juga suami Mastura dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun,manakala penamaan calon pada 5 Jun.  -Bernama