Idris Ahmad Dakwa Ada Yang Perli PAS Lepas PRN Sarawak

Idris Ahmad
SHAH ALAM - Pas mendakwa ada pihak menyindir parti itu selepas melihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, semalam yang menyaksikan parti Islam itu masih gagal melahirkan anak sulung di negeri itu.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, kalah menang dalam pilihanraya bukan perkara baharu dalam Pas dan tewas dalam PRN Sarawak langsung tidak melemahkan parti itu.

“Mereka ingat, Pas hanya parti pilihanraya. Pada tahun 1978 dalam pilihanraya negeri Kelantan, Pas hanya mendapat dua kerusi setelah memerintah selama 18 tahun. Musuh-musuh Pas membuat andaian Pas akan berkubur. Alhamdulillah, tahun 1990 Pas memerintah kembali Kelantan hingga kini.

“Begitu juga di Terengganu, Pas pernah kalah di semua kerusi pada tahun 1978 setelah Pas dipecat daripada BN. Kebetulan Terengganu pula baru mendapat telaga minyak sehingga digelar Kuwait Malaysia. Penganalisis politik menganggap Pas akan berkubur, tetapi Alhamdulillah tahun 1999, Pas menang sehingga 2004, dan bangkit semula selepas kalah 2004 hingga kini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, keputusan PRN Sarawak menyaksikan BN menang bergaya di Sarawak apabila mendapat 72 kerusi daripada 82 kerusi Dun dipertandingkan manakala DAP hanya menang 7 kerusi, PKR 3 kerusi sementara Pas dan Amanah masing-masing gagal di semua kerusi yang ditandingi.

Menurut Idris, kekalahan itu tidak melemahkan daya juang Pas dan banya banyak lagi kerja yang perlu dilakukan mereka di Sarawak.

“Insya-ALLAH, Sarawak buminya subur untuk dakwah. Penduduknya berbudi pekerti dan berbahasa boleh menerima kedatangan Pas ke rumah mereka walaupun mereka bukan beragama Islam.

“Insya-ALLAH Pas akan mengatur langkah untuk kejayaan dakwah dan perjuangan politik Pas di Sarawak. Pas akan terus melawan kemungkaran dan ketidakadilan. Semuanya tidak melemahkan Pas untuk bergerak di Sarawak sebagai sebuah parti politik dan gerakan dakwah. Pas tidak akan menyerah kalah dan semput dada selagi Pas tidak meninggalkan Islam sebagai dasar,” katanya.

Menurutnya lagi, sekiranya Pas sebuah parti pilihanraya, sudah tentu parti itu sudah lama berkubur.

“Mereka yang hanya beriman dengan pilihanraya semata-mata, tidak tahan lama dengan Pas. Mereka yang beriman dengan fikrah perjuangan yang tulen akan terus mara bersama Pas, walaupun beribu-ribu kali tewas di dalam pilihanraya.

“Mereka yakin apabila sampai waktunya perjuangan Islam akan menang. Insya-ALLAH,” katanya.

Sumber: Sinar Harian