Individu Terkaya Dalam Sejarah Peradaban Dunia Seorang Muslim


APABILA kita berfikir tentang senarai manusia-manusia terkaya di dunia, tokoh-tokoh hartawan ternama seperti Bill Gates, Warren Buffet dan John D. Rockerfeller pasti terbit di minda.

Namun, tahukah anda, bahawa manusia terkaya dalam sejarah peradaban manusia sebenarnya bukanlah berketurunan Barat, tetapi seorang lelaki Islam daripada bumi Afrika!

Memperkenalkan, Mansa Musa Keita I–seorang raja pemerintah Empayar Mali yang tidak diketahui ramai tentang kewujudannya dan mendapatkan sebahagian besar kekayaannya daripada industri perdagangan emas yang pesat di benua itu.

Emas merupakan komoditi utama kesemua jajahan takluk Mansa ketika itu dan mampu memenuhi permintaan pasaran dunia terhadap logam berharga tersebut.

Menurut penulis majalah TIME Jacob Davidson, nilai kekayaan Mansa tidak boleh ditafsirkan dengan perkataan kerana,“Tiada cara yang tepat untuk menyifatkan nilai kekayaannya.”

Walaupun anggaran kekayaannya telah disesuaikan mengikut kadar inflasi, Mansa masih kekal tersenarai di tangga pertama sebagai lelaki terkaya dalam sejarah dengan harta bernilai USD400bil dan mengatasi nilai Carlos Slim iaitu lelaki terkaya di dunia hari ini yang ‘hanya’ mempunyai kekayaan berjumlah USD68 bilion.


Mansa memulakan pemerintahannya pada tahun 1312 di kala bumi Eropah sedang melalui era peperangan yang mengakibatkan rakyatnya menderita, manakala kerajaan Afrika pula berkembang pesat ketika itu.

Semasa berkuasa sebagai raja, Mansa telah mengilhakkan bandaraya Timbuktu dan mengembalikan kuasanya terhadap Gao, menjadikan empayarnya berkembang seluas 2,000 batu.

Sekadar memberikan perspektif yang lebih jelas, empayar Mansa merangkumi kesemua 24 (atau sebahagian daripada) negara-negara Afrika yang masih wujud sehingga kini seperti Mauritania, Senegal, Gambia, Guinea, Burkina Faso, Mali, Niger, Nigeria dan Chad.

Berita kekayaan Mansa tersebar ketika baginda dalam perjalanan sejauh 4,000 batu untuk menunaikan ibadah haji di Makkah.

Rombongan yang disertai oleh beberapa ribu buah kereta kuda, puluhan ribu askar, orang awam serta hamba abdi, 500 orang bentara yang ditugaskan untuk membawa emas tulen serta beratus-ratus ekor unta dan kuda yang membawa jongkong emas.

Malah, Mansa terlalu kaya sehinggakan semasa persinggahannya di Kaherah, baginda telah membeli terlalu banyak emas dan menyedekahkan jumlah wang yang terlalu banyak kepada fakir miskin sehingga berlakunya inflasi besar-besaran di bandar tersebut! Krisis kewangan mendadak itu hanya mampu distabilisasikan beberapa tahun selepas kejadian itu.

Masjid Djinguereber di Timbuktu.
Menurut professor madya dalam bidang sejarah di Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Rudolph Ware, kemewahan yang dimiliki oleh Mansa sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

“Terdapat beberapa lukisan yang menunjukkan baginda sedang duduk di atas takhta yang diperbuat daripada emas sambil memegang cokmar emas tulen dan memakai mahkota emas di atas kepalanya. Bayangkan jumlah emas yang boleh dimiliki oleh seseorang individu, kemusia gandakan jumlah itu sekali lagi, itulah yang cuba kami rungkaikan dengan ayat namun masih belum mampu.”

Jika sampai begitu sekali susahnya orang lain untuk menyebut jumlah kekayaan anda, maka tahap kekayaan anda memang benar-benar tak masuk akal!

Bagaimanapun, kekayaan bersifat kebendaan bukanlah segala-galanya bagi raja itu.

Sebagai seorang penganut agama Islam yang warak, Mansa begitu tertarik dengan wilayah Timbuktu dan telah membina banyak pusat pendidikan dan masjid, seperti Masjid Djinguereber– legasi pemerintaan Mansa Musa Keita I yang masih wujud sehingga hari ini. -Kedahnews.com