Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid |
ALOR SETAR - Infrastruktur pendidikan di seluruh negara perlu dalam keadaan baik dan teratur dalam memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sehubungan itu, kerajaan sentiasa percaya hanya dengan penyediaan prasarana pendidikan lengkap dan sempurna, proses P&P dapat dijalankan secara berkesan.
“Tiada gunanya sesuatu pembangunan itu dilaksanakan sekiranya aspek pemantauan dan penyelenggaraan diabaikan. Ini kerana kejayaan sesuatu projek pembangunan bukan sahaja diukur apabila projek siap sepenuhnya, tetapi dinilai berdasarkan impak dan manfaat projek itu dapat dinikmati dalam tempoh panjang oleh kumpulan sasar,” katanya, pada majlis perasmian Dewan Centennial Sultan Abdul Halim di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.
Perasmian Dewan Centennial disempurnakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Turut berangkat hadir, Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Tan Sri Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri, Datin Seri Hizam Awang Ahmad, serta Presiden Seumur Hidup Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (Sahoca), Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Presiden Sahoca, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, pembinaan Dewan Centennial diilhamkan sempena sambutan 100 tahun KSAH pada tahun 2008, yang mula dibina pada April 2014 dengan kos sekitar RM8 juta.
Pembinaan dewan berkenaan yang mampu menampung kapasiti 2,000 orang bertujuan menyediakan kemudahan bagi warga KSAH khususnya termasuk orang awam mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah kemasyarakatan, riadah atau sukan.
Sumber: Sinar Harian