Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Sheikh |
JEDDAH – Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Sheikh menyelar Iran kerana apa yang disifatkannya sebagai cubaan negara itu untuk mendapat tumpuan politik dari ibadah haji sepanjang 30 tahun lalu.
Dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempatan kelmarin, Abdul Aziz turut mendakwa kerajaan Iran sebagai musuh ‘Masjidil haram dan Rasulullah (SAW)’.
“Teheran berbohong apabila menyatakan Arab Saudi menghalang rakyatnya melnunaikan haji,” kata Abdul Aziz.
Beliau juga menuduh Iran bertanggungjawab terhadap cubaan untuk mencetuskan kekacauan di Masjidilharam.
“Berapa banyak kesilapan dan pencabulan yang telah mereka lakukan sehingga ini. Antaranya, pada 1987 apabila ramai jemaah tidak berdosa terbunuh,” kata mufti itu.
Menurutnya, Iran cuba memalukan Arab Saudi dalam usaha menyembunyikan masalah yang ia sendiri cetuskan terhadap rakyatnya sehinggakan mereka tidak boleh menunaikan haji tahun ini.
Sementara itu, anggota pembangkang Iran yang juga ketua Parti Sirbitz Kurdistan, Aref Bawa Jani, berkata dasar dalam dan luar negara Iran bertujuan mencetuskan masalah antara Syiah dan Sunni.
Beliau juga mendakwa pemimpin Syiah Iran cuba meyakinkan penganut fahaman itu bahawa lawatan ke tempat suci Syiah di Iraq, khususnya Najaf dan Karbala, boleh menggantikan ibadah haji di Arab Saudi. – Agensi