#Islam: Dahi Hitam Petanda Seseorang Itu Riak?

Gambar Hiasan
Soalan: TERDAPAT riwayat hadis bahawa seseorang yang hitam dahinya adalah ahli riyak. Benarkah begitu?
Jawapan:

Memang ada tersebar riwayat hadis sebegitu yang bermaksud setompok tanda hitam di dahi adalah ciri khawarij dan orang yang riyak. Penghakiman terhadap hadis adalah sesuatu yang sukar kerana ia memerlukan pelbagai jenis ilmu seperti Rijal, bahasa Arab dan sebagainya. Hadis sebegini biasanya terdapat pertikaian dalam kalangan para ulama.

Namun begitu, masyarakat biasanya mudah terpedaya dengan orang yang hitam dahinya. Ada yang menganggap mereka adalah wali Allah, orang soleh dan mempunyai keramat iaitu berdasarkan kepada penilaian zahir dengan hanya melihat tanda hitam di dahi sahaja.

Sebaliknya terdapat juga kelompok masyarakat yang begitu mudah berpegang dengan riwayat hadis ini dan menghukum mereka sebagai individu yang riyak.

Kedua-dua sikap ini adalah melampau, iaitu jangan mudah terpedaya dengan setompok kehitaman dahi dan elakkan dengan sewenang-wenangnya menuduh dengan hanya melihat kesan pada dahinya sahaja.

Sumber: Utusan