Soalan: Saya seorang pelajar universiti. Untuk menyiapkan tugasan, saya dan beberapa rakan sekadar melakukan copy and paste beberapa artikel. Kaedah ini menjimatkan masa. Adakah ia harus?
JAWAPAN: Tujuan tugasan adalah bagi memastikan para pelajar membaca dan membuat kajian. Contohnya dibincangkan tajuk sewa dalam fikah Islam, maka tugasan diberikan agar pelajar membanyakkan bahan bacaan dalam pelbagai buku, artikel, pendapat para ulama dan sebagainya.
Dengan kepelbagaian bahan bacaan yang luas, kefahaman pelajar akan bertambah matang. Bacaan ini pula akan ditulis dan diolah semula oleh pelajar hasil kefahaman dan rujukannya.
Matlamat ini tidak tercapai jika pelajar sekadar copy and paste. Oleh itu, kaedah ini bukanlah cara yang baik. Ia tidak menambahkan ilmu sebaliknya membodohkan kita sebagai pelajar.
Kaedah ini juga merupakan sesuatu yang tidak amanah. Kita mengutip tulisan insan lain dengan menyembunyikan penulis asal. Kita seolah-olah plagiat.
Justeru, kepada para pelajar hendaklah insaf dan sedar tujuan belajar. Belajar bukan sekadar untuk mendapat markah sebaliknya mendapatkan ilmu. Dengan ilmu, ia akan membimbing diri menjadi insan yang lebih baik.
Sumber: Utusan