Gambar Hiasan |
Soalan: Saya dan suami mempunyai pendapatan bersama. Sekiranya saya memberikan wang gaji kepada kedua-dua ibu bapa saya tanpa meminta izin suami terlebih dulu, adakah saya berdosa? Bagaimanakah status pemberian wang berkenaan?
AMINAH, Gombak Setia
AMINAH, Gombak Setia
Jawapan: Perkahwinan adalah perkongsian kehidupan. Manakala tanggungjawab nafkah diwajibkan ke atas suami. Islam tidak melarang isteri membelanjakan atau bersedekah dengan hartanya sendiri.
Sabda Rasulullah SAW ketika isteri Baginda SAW iaitu Maimunah binti al-Harith r.a. membebaskan seorang hamba perempuannya tanpa memberitahu Nabi SAW. Apabila tiba giliran Nabi bersamanya, ia berkata kepada Nabi;
"Tidakkah kamu perasan aku telah membebaskan hamba perempuanku?" Nabi berkata; "Benarkah" Maimunah menjawab; "Ya". Nabi lalu berkata kepadanya; "Jika kamu menghadiahkan hamba itu kepada ibu-ibu saudara kamu nescaya pahalanya lebih besar lagi." (HR al-Bukhari & Muslim)
Namun perlu juga dipastikan bahawa infak tersebut diberikan mengikut turutan dan keperluan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu." (HR Muslim & an-Nasai)
Menjadi keperluan anak untuk menginfakkan harta kepada ibu bapa apabila mereka benar memerlukan seperti kemiskinan atau sangat memerlukan bantuan, namun jika mereka mempunyai pendapatan dan harta yang banyak maka tidak menjadi kewajipan kepada anak.
Larangan membelanjakan harta adalah apabila isteri tersebut mempunyai tabiat boros atau tidak cerdik dalam menguruskan dan membelanjakan hartanya. Wallahuaklam.
Sumber: Ustaz Haslin Baharin/myMetro