Isteri Ambil Upah RM10 Sehari Potong Kepala Ikan Demi Keluarga

Mohd Najib, 29, yang mempunyai masalah saluran jantung tersumbat membantu menguruskan ayahnya.
KUALA KEDAH - Seorang wanita di Taman Bersatu, di sini, terpaksa mengetepikan masalah kesihatannya bagi menampung keluarganya selepas suaminya lumpuh.

Azizah Zainol, 62, bekerja dengan mengambil upah memotong kepala ikan di pelantar ikan berdekatan Jeti Kuala Kedah dengan kadar bayaran RM10 sehari.

Azizah berkata, penderitaan keluarganya bermula selepas suaminya (Abdul Hamid Abdullah, 64) disahkan lumpuh akibat terjatuh ketika sedang mengambil wuduk untuk solat Asar kira-kira empat bulan lepas.

Menurutnya, dia perlu bekerja kerana perlu menyara keluarga biarpun mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Namun kadar upah yang makcik diterima tidak menentu kerana bergantung kepada jumlah ikan.

“Ada ketika makcik hanya dapat upah RM5 kerana ikan sedikit, meskipun sudah keluar bekerja seawal 6.30 pagi hingga 12 tengah hari," katanya.

Azizah berkata, selain menyara suami, dia juga menampung kos perbelanjaan dua anak dan seorang cucu yang tinggal bersamanya.

"Empat anak makcik sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan masing-masing.

"Dua anak makcik yang tinggal bersama tidak bekerja kerana sakit. Anak lelaki ada masalah saluran jantung tersumbat dan anak perempuan pula sakit mental," katanya.

Bagi mereka yang mahu meringankan beban keluarga Hamid boleh menyalurkan bantuan ke akaun Agro Bank atas namanya Abdul Hamid Abdullah (2-00-5071-00012111-1).

Sumber: Sinar Harian