Janda Bawa Anak Jual Diri Di Hotel Bajet


KOTA BHARU – Seorang janda dipercayai warga Thailand sanggup membawa anak lelakinya berusia dua tahun bagi mengaburi pihak berkuasa ketika menjalankan aktiviti pelacuran di hotel bajet di Jalan Hamzah di sini, baru-baru ini.

Lebih menyedihkan anak lelaki wanita berusia 23 tahun itu ditinggalkan bersama bapa ayam ketika dia melayan pelanggannya dengan bayaran RM120.

Bagaimanapun, wanita itu ditahan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang menyamar sebagai pelanggannya dalam operasi bersama polis dan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bermula jam 9 malam sehingga 2 pagi.

Wanita itu hanya mampu menangis teresak-esak ketika ditahan sementara bapa ayam berkenaan sempat melarikan diri dan meninggalkan anak lelakinya di tepi pintu bilik hotel.

Setiausaha MPKB-BRI, Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai berhubung kegiatan pelacuran di kawasan berkenaan.

Katanya, penguat kuasa MPKB-BRI menyamar sebagai pelanggan di kawasan berkenaan sebelum didekati lelaki menawarkan pelacur dengan bayaran RM120.

“Selepas dibawa ke bilik berkenaan, kami memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa dan menahan wanita itu. Lelaki berkenaan bagaimanapun sempat melarikan diri.

“Wanita itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya turut menahan pondan yang turut menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan itu.

Dia ditahan ketika leka menunggu pelanggan dengan bayaran RM60 dan diserahkan kepada kepada JAHEAIK untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes pelacuran di Kelantan adalah terpencil dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengelak kegiatan berleluasa.

Dalam operasi sama, MPKB-BRI turut menyita dua set karaoke di dua premis perniagaan di Kampung Chempaka dan Kampung Landak, di sini kerana beroperasi secara haram dengan jumlah keseluruhan rampasan RM25,000.

Sumber: myMetro