Gambar Hiasan |
ALOR SETAR - Semua pengamal dan pengusaha pusat rawatan bekam disarankan menukar jarum serta cawan yang baru setiap kali selepas rawatan.
Pengerusi Persatuan Bekam Sunnah dan Ruqyah Malaysia (Peberum), Syed Araniri Syed Ahmad berkata, langkah itu bertujuan mengelak penularan sebarang penyakit berjangkit terhadap pelanggan lain.
“Saya pasti semua orang apabila berbekam mahu menjaga diri dari penularan penyakit. Sebab itu orang tak mahu buat bekam sebab takut dari segi kebersihan dan jarum yang digunakan.
“Kita minta semua perawat dan pengusaha bekam supaya tukar jarum di depan pelanggan masing-masing supaya mereka yakin bahawa ia jarum pakai buang. Pastikan setiap orang ada cawan bekam sendiri serta tidak berkongsi,” katanya kepada media kelmarin.
Menurutnya, kebimbangan orang ramai terhadap rawatan bekam juga disebabkan oleh satu cawan yang bercampur dan dikongsi bersama ratusan pelanggan lain.
“Memang kita tahu rendam dengan air panas boleh hilangkan kuman tapi kita tak tahu orang datang berbekam itu ada penyakit apa.
“Sebab itu kita galakkan orang yang berbekam punya cawan atau set bekam sendiri supaya lebih bersih dan selamat,” katanya.
Berikutan itu, Peberum akan melancarkan program ‘satu orang satu kotak bekam’ yang akan diagihkan secara percuma di seluruh negara dalam masa terdekat.
Naib Pengerusi Peberum, Khairul Aswat Abdul Raman berkata, 5,000 set kotak bekam akan diagihkan kepada orang ramai bermula dengan siri jelajah pertama di Baling, Merbok dan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
“Kita buat program ini supaya tidak berlaku penularan penyakit sebab Islam mengajar erti kebersihan. Kalau orang kencing manis itu tak apa sebab darah mereka tak berjangkit, tapi kalau yang ada Aids macam mana.
“Kita sebagai juru bekam tak ada pakar kedoktoran dalam bidang itu dan tak tahu penyakit apa yang datang. Sebab itu kita sarankan jangan kongsi cawan bekam,” katanya.
Sumber: Sinar Harian