Jihad Membudayakan Ilmu Memertabatkan Islam

Gambar Hiasan
DUNIA Islam kini sedang dipanggang oleh api kezaliman Yahudi dan musuh-musuh Islam. Islam dilabelkan sebagai agama pengganas, fundamentalis, ekstremis dan bermacam lagi. Sedangkan Islam adalah agama suci yang diredai Allah SWT dan dijamin kesejahteraan hidup dunia serta akhirat.

Para pendakwah, ulama dan mujahid Islam dicop sebagai militan. Sedangkan pengganas sebenar dianggap wira sejagat. Yahudi dan puaknya semakin berani menghina Allah dan Rasulullah.

Natijahnya, segala tohmahan ini menyebabkan kehidupan umat Islam dilanda kemelut berpanjangan. Justeru, perlulah diluruskan pemahaman terhadap Islam, agar umat Islam kembali menghayati Islam yang bersumberkan al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.

Umat Islam merupakan umat istimewa yang membawa misi peradaban dan kesejahteraan kepada dunia serta dilantik oleh Allah SWT sebagai pemimpin kepada umat manusia. Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 143:
“Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu,”
Ulama terkenal, Dr. Yusuf Qaradawi dalam bukunya, “Sanggahan Salah Tafsiran Islam” menyatakan antara krisis umat Islam yang amat membimbangkan ialah pemikiran, kekurangan ilmu pengetahuan dan moral. Akibat kemunduran umat Islam, terjadilah kebekuan fikiran, tafsiran melulu dalam bidang fikah, keraguan dalam akidah, menganggap ibadah sebagai adat kebiasaan dan berlebih-lebihan dalam tasawuf.

Oleh demikian, kita harus bangun dan membetulkan kefahaman terhadap Islam dengan mengikuti jalan yang sebenarnya.

Dengan bekalan ilmu di dada dan berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak, kerana fikiran adalah pangkal pekerjaan yang benar, manakala ilmu pengetahuan adalah penyuluh ke arah kebenaran.

Pemangkin ummah

Jihad dalam keilmuan menjadi nadi pemangkin ummah. Selain bermaksud melawan hawa nafsu dan berperang melawan kafir harbi (musuh), ia juga bermaksud segala usaha bersungguh-sungguh sama ada dalam bentuk perkataan dan perbuatan berserta niat ikhlas demi menegakkan kalimah Allah SWT di atas muka bumi.

Berjihad memartabatkan budaya ilmu dalam kehidupan merupakan satu usaha amat penting. Ilmu merupakan alat utama paling berharga kepada manusia. Ia dapat merubah manusia daripada jahil kepada tahu, gelap kepada cahaya, derita kepada bahagia dan batil kepada benar.

Seseorang yang berilmu bukan sahaja memiliki kebenaran, malah mempunyai keyakinan dan kesedaran terhadap tanggungjawabnya kepada diri, keluarga, masyarakat, negara serta tugas tertinggi iaitu menjadi khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila anak Adam meninggal dunia maka semua amalannya terputus kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah dan anak soleh yang sering berdoa kepada kedua ibu bapa.”
Sayidina Ali k.w. berkata: “Ilmu adalah lebih utama daripada utama. Ilmu menjagamu sedangkan kau harus menjaga hartamu. Harta akan bekurangan bila kau nafkahkan. Sedangkan ilmu bertambah subur bila kau nafkahkan. Ilmu adalah hakim dan sebaliknya harta adalah sesuatu yang dihakimi.”

AGENDA TERSIRAT

Kesungguhan Barat, terutama pihak orientalisme dan sekuralisme mencengkam akidah, akhlak, pemikiran dan syariat Islamiah adalah untuk melihat kemusnahan dan kehancuran Islam serta umatnya.

Oleh yang demikian, jelas bahawa ideologi berteraskan keimanan dan bersendikan prinsip al-amal bil makruf wan nahyu ani mungkar menjadi syarat paling utama untuk melayakkan diri sebagai pemimpin daulah Islamiah yang berkualiti.

Umat Islam tidak boleh hanya duduk berpeluk tubuh dan bergantung kepada pengalaman serta nama Islam sahaja tanpa berusaha mencapai peningkatan dalam bidang ilmu pengetahuan yang pelbagai.

Hakikatnya, tiada penentangan langsung antara agama dengan tamadun sebagaimana dilabelkan oleh Barat. Sebaliknya, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk meninggikan darjat umat Islam. Antara formulanya ialah semua kaedah kehidupan dunia hendaklah berjalan di atas landasan ajaran Islam yang sebenar.

Dengan kekuatan keimanan, ketakwaan berserta dengan ilmu pengetahuan yang luas, maka umat Islam yang mempunyai akidah teguh iaitu tauhid rububiyah dan uluhiyyah mampu bangun untuk berjihad menentang kedurjanaan musuh Islam.

Sumber: Utusan