JPJ Akan Terus Komited Buru Kereta Klon

Gambar Hiasan
KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus menjalankan operasi mengesan kenderaan mewah yang diklonkan yang masih lagi digunakan pengguna jalan raya di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata pihaknya komited dan operasi besar-besaran akan terus diadakan bagi mengesan pengguna yang masih berdegil menggunakan kereta klon tersebut.

“Menggunakan kereta klon adalah salah dan kita nasihatkan kepada pengguna kereta klon untuk menyerahkan kenderaan mereka kepada pihak berkuasa sama ada pihak JPJ ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dikesan. Sekiranya dikesan, tindakan akan diambil.

“Banyak kesalahan yang boleh kita kenakan ke atas pemilik kereta klon yang mana kenderaan tersebut tidak berdaftar, menggunakan cukai jalan palsu, nombor pendaftaran palsu dan sekurang-kurangnya ada empat hingga lima kesalahan bagi pengguna kereta klon,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jom Santai Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) di sini.

Turut hadir Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie Abdullah dan Ketua SM1JPJ Terengganu, Amron Mamat.

Ismail berkata jika sabit kesalahan, pengguna kereta klon boleh didenda sehingga RM50,000.

“Jika pemilik kenderaan klon ini serahkan kereta mereka, kita tak akan ambil apa-apa tindakan dan sehingga kini sebanyak 1,708 buah telah disita…saya yakin ada lagi kenderaan klon yang belum disita tetapi kita tak tahu jumlah sebenar, mungkin dalam 2,000 hingga 3,000 buah lagi,” katanya.

Tambah Ismail, beliau yakin sindiket kereta klon akan dapat diselesaikan sepenuhnya selepas pelaksanaan Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang kini sedang dibangunkan. – BERNAMA