JPN Nafi Tukar Kod Kelahiran Di Negeri Pahang 06

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta orang ramai terutama rakyat Pahang tidak mempercayai hebahan melalui aplikasi Whatsapp berkaitan penukaran kod negeri kelahiran negeri itu.

JPN dalam satu kenyataan media memberitahu, maklumat yang disebarkan tersebut adalah palsu dan tidak benar kerana tiada sebarang perubahan pada kod negeri kelahiran Pahang iaitu 06, 32 dan 33.

“Untuk makluman, orang ramai boleh membuat semakan kod negeri kelahiran di Malaysia melalui Portal Rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau capaian terus ke url http://www.jpn.gov.my/kod-negeri/,” kata kenyataan itu semalam.

JPN dalam pada itu menegaskan, maklumat penting melibatkan rekod pengenalan diri individu tidak wajar dipermainkan kerana boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang maklumat berkaitan dengan Jabatan ini, orang awam adalah dinasihatkan untuk menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN di talian 03 – 8880 7077 atau emel ke pro@jpn.gov.my,” kata JPN. –Kedahnews.com