K Devan |
PETALING JAYA - Bekas pengendali Selangor, K Devan mengikut jejak langkah rakan sejawatannya, Datuk K Rajagopal apabila dilaporkan menghantar surat peletakan jawatannya selaku ketua jurulatih Kelantan berkuatkuasa Rabu.
Menurut sumber Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Devan memutuskan untuk meletak jawatan atas alasan peribadi.
"Saya tak boleh nak komen lebih lanjut mengenai perkara ini. Biarlah Presiden (Kafa) yang umumkan mengenainya.
"Apa yang saya boleh katakan, memang benar Devan sudah hantar surat peletakan jawatan," kata sumber itu kepada mStar Online.
Difahamkan ketua jurulatih berusia 55 tahun itu berhadapan keadaan sukar untuk memulihkan prestasi terumbang ambing skuad Kelantan ketika ini.
Lebih memburukkan keadaan, Kelantan kini menduduki tangga keenam Liga Super dengan mengutip 12 mata daripada 10 perlawanan.
Difahamkan Kafa menerima peletakan jawatan Devan dan akan mengumumkan pengganti beliau dalam masa terdekat.
Sementara itu Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Facebooknya memaklumkan akan mengadakan sidang media untuk membuat pengumuman penting pada petang Khamis.
Pengumuman itu dipercayai berkaitan peletakan jawatan Devan pada Rabu.
Devan merupakan jurulatih kelima dalam saingan Liga Super yang meletak jawatan atau direhatkan pasukan masing-masing musim ini.
Sebelum ini, ketua jurulatih Terengganu Ahmad Yusoff antara yang pertama direhatkan diikuti Jacksen Tiago (Pulau Pinang) bulan lalu dan Rajagobal pada Selasa.
Sementara itu, Ahmad Shaharuddin Rosdi meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Pahang pada Mac lalu.
Sumber: mStar