"Kalau Tak Mahu Undi Pecah, PAS Jangan Letak Calon"

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abdul Samad
SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abdul Samad menyarankan PAS berunding dengan semua wakil Pakatan Harapan jika parti itu tidak mahu pertandingan tiga penjuru, dan bukan hanya berunding dengan PKR.

Menurut Khalid, PAS sebenarnya keliru dengan ‘bahasa’ mereka sendiri sebagai blok ketiga.

"PAS sepatutnya selari antara percakapan dan tindakan mereka. Blok ketiga sepatutnya tidak gentar bertanding tiga penjuru," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyarankan parti pembangkang lain tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Katanya, jika tidak mahu undi pecah dijadikan alasan, PAS juga sepatutnya bersedia berbuat demikian.

“Kalau tak mahu undi pecah, PAS jangan letak calon. PAS pun sepatutnya jangan bertanding. Beri laluan kepada parti lain. Kalau PAS merasakan pecahan undian itu satu perkara penting, tariklah diri. Jangan suruh orang lain tarik diri,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Tuan Ibrahim bahawa tindakan meletakkan calon untuk menguji sokongan hanya akan memberi kelebihan kepada BN untuk menang, Khalid berkata, isu itu tidak timbul.

“Tiada niat mahu menguji sebaliknya jika kami meletakkan calon, kami memang mahu menang. Wujudnya Amanah (PAN) kerana perjuangan kami berbeza,” ujarnya.

Ditanya adakah PAN akan meletakkan calon dalam dua PRK tersebut, Khalid berkata, ia masih dalam perbincangan.

Sumber: Sinar Harian