Gambar Hiasan |
KASIH ibu bapa tidak bersempadan, apa sahaja sanggup dilakukan demi kebahagiaan anak-anak. Walaupun kelihatan tegas dan garang, tapi itulah “bahasa sayang” mereka yang hanya bakal difahami anak-anak setelah bergelar ibu bapa kelak.
Sucinya hubungan ibu bapa dan anak-anak daripada hasad dengki rupanya disinggung halus oleh Allah SWT dalam kisah Nabi Yusuf a.s. dan ayahnya Yaaqub a.s.:
“(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat 11 bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”. Bapanya berkata:” Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudaramu kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia,” (Yusuf [12:4-5]).
Mimpi baginda bukan calang-calang maksudnya. Ia menggambarkan betapa baginda akan menjadi seorang insan hebat pada kemudian hari. Bukan setakat itu,, adik beradiknya yang 11 orang itu juga akan tunduk hormat kepadanya.
Menyentuh firman ini, ada yang kritis bertanya mengapa matahari dan bulan berada di belakang bintang. Bukankah elok jika ia berada di hadapan sebelum sebutan 11 bintang. Jawapan Imam al-Razi: “Itu tanda keagungan ibu bapa dalam sebuah keluarga. Ia disokong sebuah ayat yang menceritakan keagungan Jibril dan Mikail berbanding semua malaikat,” - Tafsir al-Razi.
“Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya) dan memusuhi para malaikat-Nya dan Rasul-Nya, khasnya “malaikat Jibril dan Mikail”, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang kafir,” (al-Baqarah [2:98]).
LUMRAH MANUSIA
Nabi Yaaqub berpesan agar Nabi Yusuf tidak memaklumkan mimpinya kepada saudaranya kerana baginda sudah mencium bau hasad yang sangat kuat dalam kalangan mereka. Inilah kehebatan firman Allah, tepat dan benar.
Hasad antara adik beradik memang mudah berlaku tetapi sukar bahkan seakan mustahil berlaku antara ibu bapa dan anak-anak. Bukan sekali Allah menegaskan perkara ini. Antaranya kisah dua anak Nabi Adam a.s. berbunuhan kerana hasad si abang terhadap adiknya seperti dalam Surah al-Maidah: 27.
Ia juga disinggung halus ketika Allah mengutarakan isu faraid atau harta warisan. Bandingkan dua firman ini:
“...(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya,” (al-Nisa’[4:11]).
Firman Allah dalam ayat seterusnya:
“....Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa; dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi setiap seorang daripada keduanya ialah 1/6. Kalau pula mereka (saudara yang seibu itu) lebih daripada seorang, maka mereka bersekutu pada 1/3 (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), “sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris),” (al-Nisa’[4:12]).
Ayat pertama (ayat 11) merujuk isu pewarisan daripada ibu bapa kepada anak-anak, manakala ayat kedua (ayat 12) merujuk kepada pewarisan sesama adik beradik. Perhatikan hujung kedua-dua ayat tentang wasiat tersebut.
- Pada hujung ayat 11, Allah tidak menyebut perkataan wasiat yang memberikan mudarat kepada ahli waris.
- Pada hujung ayat 12, disebut larangan wasiat dengan tujuan memberi mudarat.
Mengapa? Kemungkinan ibu bapa sengaja mewasiatkan harta melebihi hak anak-anak (kerana dengki terhadap mereka) sangat jarang berlaku. Berbeza dengan pewarisan adik beradik yang tidak memiliki waris lain, mereka mungkin menyimpan dendam hasad kepada saudara mereka. Oleh itu, mereka sengaja mewasiatkan harta mereka kepada pihak lain melebihi hak saudara sendiri.
Maha Suci Allah! Hebat sekali cara Allah menggambarkan kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak. Oleh itu, sebagai anak-anak kita wajib mentaati dan mencintai ibu bapa sepenuh jiwa. Rasa cinta kepada mereka juga akan semakin mendalam setelah kita sendiri bergelar ibu bapa dan merasai peritnya membesarkan anak.
Sumber: Utusan