Kelantan Pasukan Paling Miskin Liga Super 2016 - Presiden KAFA

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa
KUALA LUMPUR – “Kelantan adalah pasukan dengan modal paling kecil dan paling miskin dalam Liga Super 2016”

Demikian luahan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengenai prestasi pasukan itu yang teruambang-ambing setakat musim ini.

Kata beliau, Kelantan satu-satunya pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia yang belum mempunyai bajet mencukupi bagi meneruskan saingan pada tahun ini.

“Pengurusan terpaksa terus menerus mencari tajaan yang belum mencukupi untuk bajet tahun ini. Satu lagi tahun yang sukar (buat Kelantan),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Annuar dalam pada itu melahirkan rasa kesal kerana tidak ramai mahu membantu pasukan Kelantan mengharungi Liga Malaysia pada tahun ini.

Menurut beliau, Kelantan masih belum mampu membentuk pasukan yang berkualiti kerana pelbagai kekurangan yang masih menimpa pasukan itu.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan, KAFA akan terus berusaha untuk memastikan pasukan Kelantan kekal dalam Liga Super pada tahun depan supaya tidak mengalami nasib seperti bekas pasukan juara yang lain.

“Daripada segi prestasi kini di tangga ke lima selepas sembilan perlawanan dengan jaringan ketiga terbanyak dan masih tanpa kalah di gelanggan sendiri.

“Ada dua lagi perlawanan untuk pusingan pertama melawan Felda dan Selangor di tempat lawan. Atas kertas kertas kita bakal tewas kedua-duanya. Tetapi Kelantan ada kala mampu membuat kejutan,” katanya lagi. –Kedahnews.com