Kemalangan Di Telok Wanjah, Wanita Maut Tercampak Keluar

ALOR SETAR - Seorang wanita maut selepas tercampak keluar apabila kereta yang dipandu rakannya lelakinya terbabas dan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Telok Wanjah di sini tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dalam kemalangan kira-kira 12 malam itu, Lee Yen Theam, 24,  dari Taman Rajawali Indah, Jalan Langgar di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya rakan lelaki wanita itu Jason Lee, 21, dan dua lagi Ng Ing Kun, 51, dan Koo Choo Kuey, 61, dalam sebuah lagi kereta itu mengalami kecederaan.

"Tiga mangsa yang mengalami kecederaan dilaporkan stabil, dengan Lee dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan dua lagi dirawat di sebuah hospital  swasta," katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya siasatan awal polis mendapati kenderaan dipandu Lee dari arah Telok Wanjah menghala ke Tambang Badak, di sini hilang kawalan lalu melanggar besi pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta terbabit.  

Mohd Rozi berkata, mayat wanita itu dihantar ke HSB untuk bedah siasat.

Sementara itu, ibu Yen Theam yang hanya mahu dikenali sebagai Catherine, 48, berkata, dia menerima panggilan daripada rakan lelaki anaknya yang memaklumkan mengenai kemalangan itu.

"Sebelum kejadian kami sempat makan malam bersama di sebuah restoran sebelum anak saya keluar bersama rakan lelakinya yang datang mengambil di rumah kira-kira pukul 10 malam.

"Anak saya beritahu yang mereka berdua mahu menonton wayang," katanya. – Bernama