Gambar Hiasan |
PUTRAJAYA - Status keputusan permohonan kemasukan ke universiti awam atau politeknik premier bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf boleh disemak pada 16 Mei (Isnin) mulai 12 tengah hari.
Dalam kenyataan pada Sabtu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata pemohon boleh menyemak keputusan dengan menghubungi talian hotline 03-88706767 atau 03-88706777 dan laman web <http://upu.mohe.gov.my>, <https://jpt.utm.my>, <http://jpt.uum.edu.my>, <https://jpt.unimas.my>, <http://jpt.ums.edu.my>.
Pemohon juga boleh menghantar khidmat sistem pesanan ringkas dengan menaip UPU RESULT [No. KP] dan hantar ke 15888.
Pemohon juga boleh membuat semakan tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi melalui laman web rasmi universiti awam berkaitan atau Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) mulai 17 Mei (Selasa).
"Semua pemohon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan penerimaan tawaran oleh universiti awam atau politeknik premier melalui laman web rasmi universiti atau JPP," kata kenyataan itu.
"Kegagalan calon yang berjaya untuk mengesahkan penerimaan atau penolakan tawaran pada tarikh yang ditetapkan dianggap menolak tawaran tersebut," katanya.
Dalam itu, sejumlah 440,688 calon telah menduduki peperiksaan SPM pada 2015 dan hanya 181,317 calon (41.1 peratus) telah mengemukakan permohonan UPUOnline.
"Daripada jumlah ini, 90.3 peratus iaitu 163,681 calon layak dipertimbangkan untuk kemasukan ke program pengajian peringkat asasi dan diploma di universiti atau politeknik premier bagi Sesi Akademik 2016/2017," tambahnya.
Selain itu, KPI berkata Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (BPKP JPT) juga menyelaras kemasukan ke Politeknik Konvensional/METrO, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
"Keputusan kemasukan ke Politeknik Konvensional/METrO, Kolej Komuniti dan ILKA pula akan diumumkan pada 26 Mei (Khamis) mulai jam 12.00 tengah hari," kata kenyataan itu.
Hanya pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran ke universiti awam atau politeknik premier boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline Rayuan.
"UPU Online Rayuan akan dibuka dalam tempoh lima hari sahaja mulai 26 Mei hingga 31 Mei 2016 di <http://upu.mohe.gov.my>," kata KPT.
Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di universiti awam dan politeknik premier selepas pendaftaran pelajar baharu.
Keputusan rayuan akan diumumkan pada minggu kedua bulan Jun 2016 dan jika tiada sebarang tawaran diterima dalam tempoh empat minggu selepas tarikh pendaftaran pelajar baharu di universiti awam dan politeknik premier berkenaan, maka rayuan tersebut hendaklah dianggap gagal.
Tawaran yang diberikan kepada calon adalah muktamad, jelas kementerian.
Pemohon boleh menghubungi BPKP JPT di talian telefon 03-8870 6767 dan 03-8870 6777 untuk bantuan atau terdapat sebarang kemusykilan.
Sumber: mStar