Kerajaan BN Negeri Kedah Kekal Rekod Bebas Rasuah

Md Shuhaime (tengah, depan) bergambar bersama peserta program MIP di Wisma Darul Aman.
ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah masih mengekalkan rekod bebas rasuah selepas negeri ini kembali ditadbir BN.

Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (Jitu) Kedah, Md Shuhaime Abd Rahman berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan kaki tangan dan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) tidak terjebak gejala rasuah, penyelewengan dana awam mahupun penyalahgunaan kuasa.

“Walaupun seorang pengarah sebuah jabatan di negeri ini dalam siasatan melibatkan isu penyelewengan, selagi tidak terbukti bersalah, ia tidak menjejaskan rekod itu,” katanya.

Menurutnya, pelbagai penambahbaikan turut dilakukan bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Bakar Din dalam memastikan Kedah bebas rasuah.

“Antaranya, kerajaan negeri mewajibkan semua kaki tangan mengisytihar harta. Arahan dikeluarkan kepada ketua jabatan untuk pantau aset dimiliki kaki tangan supaya tidak menimbulkan persepsi awam yang tidak baik,” katanya, selepas hadir program Malaysia Integriti Profiling (MIP) Kedah anjuran Jitu Kedah dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) dan MIMOS, disertai 22 pegawai KCS baharu.

Md Shuhaime berkata, idea cetusan Bakar itu mula dipraktikkan November lalu sebaik beliau mengangkat sumpah jawatan dan akan dilakukan secara berperingkat.

“Jitu juga diberi kuasa membuat pemeriksaan di jabatan awam negeri bagi menyemak dan memantau sama ada wujud kes-kes meragukan berkaitan integriti, namun setakat ini tiada kes direkodkan. Jitu turut diberi peranan dalam urusan kenaikan pangkat KCS,” katanya.

Menurutnya, ketua jabatan yang menerima aduan terbanyak daripada orang awam akan diberikan sentuhan secara langsung bawah SUK Kedah.

“Aduan ini menyeluruh bukan bertumpu pada integriti sahaja, ia merangkumi prestasi, perkhidmatan, salah laku, layanan tidak mesra. Malah lawatan mengejut juga akan diadakan ke jabatan-jabatan tertentu,” katanya.

Md Shuhaime berkata, Bakar turut memperkenalkan pendekatan merit kepada penjawatan ketua jabatan dan jawatan penting dalam kerajaan negeri, berbanding sebelum ini mengikut sistem seniority atau tempoh lama berkhidmat.

“Pembaharuan yang dilakukan adalah untuk mengekalkan tahap kepercayaan awam yang tinggi terhadap KCS, selain memantapkan pengurusan dan pentadbiran negeri di tahap memuaskan. Beliau lakukan penambahbaikan kalangan KCS bagi pastikan mereka bebas rasuah, salah guna kuasa, serta berintegriti dalam menjalankan amanah,” katanya.

Menurutnya, sejak dipraktikkan amalan baharu ini serta pelaksanaan MIP, pihaknya mendapati  tahap pentadbiran negeri bertambah baik.

Sumber: Sinar Harian