KULIM – Kerajaan perlu melakukan usaha bersepadu untuk menguruskan sisa pepejal di negara ini agar tidak menjadi serius dan kritikal, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata dalam keadaan negara yang semakin maju selaras dengan pertambahan penduduk, kerajaan sememangnya memahami perlu menguruskan sisa pepejal itu dengan sebaik mungkin.
“Bila negara semakin maju dan kaya, barangan dan makanan akan lebih bertambah dan kalau kita tidak buat sesuatu seperti pengasingan sisa pepejal di punca nanti keadaan akan menjadi lebih kritikal.
“Sebab itu ketika ini pendidikan bagi memberi kesedaran kepada rakyat perlu ditingkatkan lagi,” katanya selepas merasmikan karnival dan pelancarana program kitar semula “Recycle For Life” peringkat Majlis Perbandaran Kulim di sini, hari ini.
Program itu dianjurkan E-Idaman Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Kulim.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Mohammad Mentek, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Badrol Hisham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Datuk Dr Zulkapli Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd Mhd Saiful Anuar Zainal dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Md Nordin Yahya.
Abdul Rahman berkata antara insentif yang telah diberikan kepada pengguna seperti penggunaan kad “Recycle For Life” yang boleh ditebus pengunaannya di pasar raya terpilih.
“Langkah pemberian kad ini oleh E-Idaman yang membolehkan nilai wang dimasukkan ke dalam kad bagi menggantikan wang tunai ketika menjual barangan kitar semula ini adalah sangat bagus kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata kerajaan ketika ini berhasrat untuk mengurangkan tapak pelupusan sampah yang baharu kerana barangan kitar semula boleh dijanakan menjadi bahan bakar untuk tenaga dan sebagainya. – BERNAMA