Kereta Terjunam Dalam Lubang Pembentung Di Damansara

Gambar: The Star
KUALA LUMPUR - Seorang warga emas dan pembantunya terselamat selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang projek pembetungan sedalam 12 meter di Seksyen 17 Damansara, dekat sini, semalam.

Pemandu yang hanya dikenali sebagai Yong, 86, dan pembantunya, Marivl Palquing Estoea, 30, bagaimanapun cedera di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios, dikatakan terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang pembetungan berkenaan.

"Punca sebenar kereta itu terbabas masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2 petang dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

"Lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damasara berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dari lubang pembetungan itu," katanya.

Sumber: mStar