Kerja Terlalu Membosankan, Lelaki Saman Bekas Majikan

Gambar Hiasan
Seorang lelaki telah bertindak memfailkan saman terhadap bekas majikannya sebanyak £280,000 mendakwa disebabkan pekerjaan yang dilakukannya itu terlalu membosankan hingga memaksanya untuk berhenti kerja.

Frederic Desnard, 44, mendakwa tugas yang dilakukan di sebuah syarikat minyak wangi yang berpengkalan di Paris telah menyebabkannya tertekan dan memalukan dirinya.

Dalam saman tersebut, Desnard turut mendakwa pekerjaan itu telah menyebabkan dia menjadi `lembab’ hingga terpaksa berhenti kerja.

Dia sebelum itu dilantik pengurus, namun tidak dibenarkan menjalankan tanggungjawabnya.

“Setiap hari saya ke pejabat dalam keadaan terdesak dengan perasaan seperti mahu karam.

“Apabila tiba di pejabat saya akan menangis. Tiada orang yang mempedulikannya kerana tiada siapa yang peduli sama ada saya berada di situ atau tidak.

“Saya menjadi tertekan dan malu kerana dibayar gaji tetapi tidak melakukan apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu, peguam syarikat berkenaan, Jean-Philippe Benissan, berkata sepanjang empat tahun berkhidmat di situ, dia tidak pernah menyatakan bahawa dia berasa bosan.

“Jika dia menyatakan bahawa dia tidak melakukan apa-apa sepanjang tempoh itu, kenapa dia tidak pernah menyatakan selama ini,” katanya. -Kedahnews.com