Kes Pukul: Polis Ambil Keterangan Timbalan Speaker Dun Kedah


ALOR SETAR - Polis Kedah dilaporkan telah mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu, Datuk Azmi Che Husain yang didakwa memukul seorang lelaki dalam satu insiden pada 15 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, Azmi telah memberi kenyataan pada malam Jumaat lepas dan mengakui berada di lokasi kejadian di hadapan sebuah kompleks membeli belah Aman Central, di sini.

Kata Mohd Rozi, melalui keterangan itu, Adun Bayu itu menafikan beliau bertindak memukul lelaki berkenaan bersama teman wanitanya seperti yang didakwa dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.

"Kejadian tersebut lebih kepada salah faham antara kedua-dua pihak dan mungkin ada unsur tidak puas hati. Kita akan teruskan siasatan ini dan jika Adun itu rasa dia difitnah, terpulang kepadanya untuk ambil tindakan selanjutnya.

"Kita telah mengambil keterangan beberapa saksi kejadian dan akan mengambil keterangan teman wanita lelaki terbabit yang kini berada di ibu negara, bagi melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut," katanya yang dipetik dari mStar.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang pada 15 Mei lepas, seorang lelaki dikenali sebagai Alif Adam Mohd Munaim mendakwa kononnya dia telah dipukul oleh tiga individu termasuk seorang Adun yang bertindak menariknya keluar dari kenderaan sebelum dipukul.

Lelaki itu turut mendakwa teman wanitanya yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut juga dipukul sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

Walau bagaimanapun, Azmi kemudian menjelaskan kejadian sebenar mendakwa bahawa video yang diviralkan di Facebook itu tidak memaparkan keseluruhan kejadian tersebut.

Kata Azmi, kejadian itu sebenarnya berpunca dari pemuda yang mendakwa dipukul itu menunjukkan isyarat tidak elok kepada anaknya yang sedang memandu, melakukan provokasi itu kemudiannya bertindak memaki hamun.

“Saya ketika itu dalam kereta dengan dua lagi anak lelaki. Bila kejadian macam tu berlaku, saya turun kereta dan tanya kenapa dia buat begitu kepada anak saya.

“Namun bila disoal, dia bertindak memaki hamun saya. Salam yang diberi sebelum itu pun tidak dijawabnya," cerita Azmi.

Lelaki itu kemudian katanya tidak cukup dengan memaki hamunnya di tengah jalan, malah telah bertindak agresif keluar dari kenderaan dan menendang beliau sehingga terjatuh.

“Dua anak yang ketika itu berada dalam kereta keluar untuk mempertahankan saya dari terus dipukul. Siapa yang sanggup tengok ayah mereka dipukul depan mata.

“Jadi berlaku pergelutan antara mereka bertiga, saya yang berada di situ cuba meleraikan pergaduhan, tetapi saya ditumbuk oleh lelaki itu,” jelasnya.

Azmi yang juga merupakan Timbalan Speaker Dun Kedah itu juga menafikan "menyentuh" kekasih lelaki itu sebagaimana yang didakwa dan mencabar mana-mana pihak memberi bukti wanita itu dipukul beliau dan anak-anaknya.

“Saya dan anak-anak langsung tidak sentuh wanita itu, tetapi bila dia keluar dari kereta untuk leraikan pergelutan, dia pula yang ditarik dan ditolak masuk ke dalam kereta oleh lelaki berkenaan.

“Jika ada pihak yang masih ragu-ragu dengan tuduhan ini, sila berikan bukti segera bahawa wanita itu benar-benar ditumbuk,” katanya lagi.

Azmi meluahkan rasa kesal apabila pemuda itu dilihat cuba memutar belitkan kejadian sebenar di media sosial dan tidak menolak sekiranya insiden itu sengaja diatur pihak tertentu untuk memburukkan imej politik beliau.

“Saya cuba leraikan keadaan, tetapi saya pula yang dituduh.

“Kejadian itu berlaku siap dengan rakaman dari kamera, seperti ada sesuatu yang tidak kena. ALLAH akan bersama orang yang benar, saya yakin dengan janji-NYA,” tegas Adun Bayu itu, yakin dengan pendiriannya. 

Sementara itu, desas-desus pula bertiup kencang mendakwa lelaki berkenaan dikatakan bergaduh dengan teman wanita di dalam kenderaan sebelum insiden itu berlaku dan turut dikaitkan memiliki rekod jenayah sebelum ini. 

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kebenaran mengenai desas-desus yang turut kecoh diperkatakan di media sosial itu.  -Kedahnews.com