Ketua Perunding Perjanjian Damai Pembangkang Syria Tarik Diri

Mohammed Alloush
BEIRUT – Ketua perunding perjanjian damai mewakili pembangkang Syria, Mohammed Alloush, mengumumkan meletakkan jawatan susulan kegagalan rundingan Geneva yang ditaja oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tindakannya juga ada kaitan dengan siri pengeboman tentera Presiden Bashar al-Assad ke atas kubu pemberontak.

“Perbincangan tiga pusingan tidak berjaya kerana kedegilan rejim dan tindakan berterusan membedil dan bertindak agresif terhadap rakyat Syria,” kata Alloush, anggota pergerakan Jaish al-Islam (Tentera Islam) kumpulan pemberontak dalam akaun Twitternya.

“Sehubungan itu, saya mengumumkan menarik diri daripada delegasi dan meletakkan jawatan,” katanya. – AFP