KFA Sokong Penuh Kepimpinan Ahmad Bashah - Aminuddin Omar

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pihak menyebarkan maklumat palsu kononnya Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah meletakkan jawatan.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, pihaknya berasa kesal dengan penyebaran maklumat palsu di media sosial tersebut.

“Saya selaku Setiausaha Kehormat KFA dengan ini menafikan sekeras-kerasnya khabar angin palsu ini yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana tiada sebarang perbincangan mahupun pemakluman kepada Jawatankuasa Pengurusan KFA berkaitan isu tersebut.

“Pihak persatuan berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden KFA dan sentiasa menyokong penuh segala usaha yang dilakukan beliau untuk kemajuan serta meningkatkan lagi mutu sukan bola sepak di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Baru-baru ini tersebar maklumat kononnya Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah kononnya beliau meletak jawatan sebagai Presiden KFA.

Maklumat palsu berbaur politik yang dipercayai disebarkan oleh pihak tertentu itu bertujuan memberi tekanan kepada Ahmad Bashah yang baru dilantik sebagai Menteri Besar Kedah dan memburukkan lagi imej beliau yang sebelum ini yang dikatakan telah dicemarkan oleh bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Mahathir.

Ahmad Bashah sebelum ini dipilih oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dari kalangan 3 calon dan diperkenan untuk dilantik ke jawatan Menteri Besar oleh Pemangku Jemaah Sultan Kedah, setelah majoriti Adun Kedah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.

Ia ekoran daripada tindakan KFA menolak tajaan bernilai RM30 juta oleh syarikat D’Herbs Holdings (M) Sdn. Bhd. (D’Herbs) milik selebriti Datuk Aliff Syukri kerana kedua-dua pihak gagal mencapai keputusan menang-menang. – Kedahnews.com