KFA Teliti Penyerang Dari Columbia, 6 Pemain Dari Bosnia


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) dilapor sedang membuat penilaian terakhir sebelum memanggil pemain import baharu untuk diuji bagi menggantikan pemain sedia ada.

Seorang pegawai kanan KFA mendedahkan, pihak pengurusan sedang meneliti enam calon pemain dari Bosnia Herzergorvina untuk diuji pada Jun ini.

Menurutnya, daripada enam pemain itu, hanya dua pemain akan diuji oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe sebelum keputusan bagi mengikat kontrak diputuskan.

"Setakat masih di tahap penilaian. KFA sedang menilai enam pemain dari Bosnia untuk dipanggil dalam ujian nanti.

"Kita hanya panggil dua pemain Bosnia yang terbaik untuk diuji terlebih dahulu. Jika jurulatih berpuas hati barulah mereka akan diberikan kontrak.

"Setakat ini, pemain-pemain tersebut aktif mewakili kelab masing-masing di negara mereka," katanya.

Tambahnya, selain itu, KFA akan menguji seorang pemain dari Columbia yang bermain di posisi penyerang.

"Apa yang dapat diberitahu setakat ini ialah kita akan menguji penyerang muda dari Columbia. Dia dan pemain dari Bosnia akan tiba selepas KFA membuat keputusan.

"Mereka akan menggantikan Carlos Eduardo De Souza atau Kahe dan Sandro Da Silva yang pulang ke Brazil untuk merawat kecederaan.

"Ujian ini bukan sesuautu yang muktamad kerana KFA akan membuat keputusan yang terbaik demi memastikan masa depan bola sepak negeri ini terjamin," jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Kedah, Datuk Jeffri Low Han Chow mengesahkan mengenai dua pemain Bosnia dan seorang penyerang dari Columbia yang akan diuji.

"Kesemua mereka akan melalui ujian, jika KFA berminat barulah mereka akan ditawarkan kontrak," ujarnya ringkas.

Sumber: mStar