Kisah Sebenar Di Sebalik Gambar "Nasi Unduk Babi Buncit"


GAMBAR viral yang memaparkan seorang wanita bertudung tetapi berniaga nasi berlaukkan daging khinzir, menerima pelbagai respon negatif di kalangan penduduk tempatan di Jakarta Barat.

Foto berkenaan yang tertera menu “nasi uduk babi buncit” pada mulanya dianggap palsu oleh netizen tempatan, namun perkara tersebut disangkal pemuat naik gambar, Hanny Kristianto yang mendakwa dia telah bertemu dengan wanita muslim itu.

Katanya, wanita itu berniaga nasi daging khinzir di sebuah gerai di pasar raya Lippo Puri di Jakarta Barat.

“Dia bekerja di kedai makan milik peniaga bernama Oey Cecilia dan Tommy. Dia hanya bekerja di sana kerana terdesak selepas sukar mendapat kerja di tempat lain dan terpaksa menjaga keluarganya,” katanya.


Gerai berkenaan dibuka setiap hari dan sering dikunjungi pengunjung dari dua gereja berhampiran pasar raya itu.

Terdapat satu kain rentang yang jelas memberitahu gerai berkenaan menghidangkan daging khinzir dan bukan untuk orang Islam.

Tambah Hanny, wanita bertudung itu beragama Islam bukan beragama Kristian Ortodoks seperti dakwaan beberapa pihak sebelum ini.

Bagaimanapun, jelasnya, wanita bertudung itu hanya bekerja sebagai pelayan bukannya pemilik gerai berkenaan. -Kedahnews.com