Gambar Hiasan |
SETELAH mula digunakan secara rasmi sejak 1974 susulan pengisytiharan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur tidak lagi menggunakan W sebagai huruf pertama nombor plat pendaftaran kenderaan berkuat kuasa Julai depan.
Ia diumumkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari pada sesi Dewan Rakyat di bangunan Parlimen pada Khamis.
Ujar beliau, pihak kerajaan malah merancang untuk menukar nombor pendaftaran kenderaan bagi dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan bermula masing-masing dengan huruf konsonan V dan F.
Rasional perubahan nombor plat sedia ada bagi Kuala Lumpur ketika ini yang bermula dan berakhir dengan abjad kerana dikatakan tidak lagi menarik bahkan agak sukar dibaca oleh orang ramai sehingga menimbulkan kekeliruan.
“Kita melihat pandangan ini ada kebenarannya apabila nombor sudah begitu rumit dan menyebabkan pendapatan kerajaan melalui tender pembelian plat pendaftaran W menurun kerana ia dilihat tidak efektif,” kata Abdul Aziz.
Menurut beliau, rakyat di negara ini didapati berkecenderungan untuk ‘melabur besar’ bagi memiliki nombor plat kenderaan yang lebih kecil berbanding gabungan huruf dan nombor yang agak besar diguna pakai siri W sedia ada.
“Kita akan keluarkan nombor pendaftaran baharu bagi Kuala Lumpur bermula dengan V, manakala Perbadanan Putrajaya juga ada mohon nombor plat pendaftaran kenderaan sendiri dan ia akan dikeluarkan dengan huruf F.
Pemilik kenderaan di Putrajaya sejak diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 2001 lalu menggunakan siri plat Putrajaya 1 sehingga 9999 manakala sebaik sahaja habis, huruf F bakal dilaksanakan mulai 1 Jun depan.
“Nombor plat ini akan mengecil semua dan ia lebih mudah dibaca, sekali gus ini akan mencorak minat pemilik kenderaan kerana masyarakat di Malaysia diketahui memang minat dengan nombor yang kecil,” kata Abdul Aziz.
Setakat hari ini, nombor plat Kuala Lumpur ialah WC 4143 V. Siri plat W 1 A bermula pada Julai 2013 selepas WYY 9999 berakhir diumumkan pemangku Menteri Pengangkutan waktu itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Nombor plat pendaftaran kenderaan Kuala Lumpur mencatatkan angka tertinggi di Malaysia iaitu secara purata lebih 1,100 unit sehari atau hampir 360,000 unit sepanjang tahun diikuti oleh negeri Johor dan Pulau Pinang.
Hishamuddin ketika itu menjelaskan, sebaik habis siri W 9999 Y, ia disusuli pula dengan WA 1 A sehingga WY 9999 Y dan kemudian WAA 1 A sehingga WYY 9999 Y. Huruf Z pada waktu ini hanya dikhaskan untuk kenderaan tentera.
Format siri gabungan huruf W dengan angka dan huruf susulan sejak 2013 untuk pendaftaran plat kenderaan di Kuala Lumpur adalah berdasarkan kepada kaedah sama yang juga diguna pakai di Sabah dan Sarawak selama ini.
Kecuali Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang masing-masing mengguna pakai huruf awal negeri iaitu K, P, T, J, M dan N, lima negeri lain pula mewartakan plat huruf A, B, C, D dan R.
Penetapan huruf itu mula diperkenalkan penjajah British dengan Perak mendapat A kerana kebetulan kenderaan pertama didaftarkan di Tanah Melayu pada ketika itu ialah Perak diikuti B untuk Selangor dan C untuk Pahang.
Ia disebabkan kemakmuran syarikat perlombongan bijih timah Inggeris yang berkembang pesat membawa masuk banyak kereta dan untuk mengelak kekeliruan pada 1948, penjajah menetapkan huruf sedemikian sebagai rujukan.
Perak dan Pahang asalnya memakai PK dan PH sebelum masing-masing ditukar kepada A dan C bagi dibezakan dengan Pulau Pinang manakala Selangor yang mengunakan SL diubah kepada B untuk dibezakan dengan Singapura.
Kelantan pada mulanya KL sebelum memakai siri D kerana Kedah sudah mendaftar kenderaan pertamanya iaitu siri plat K dan Perlis dengan siri PS diubah kepada R untuk mengelak pertindihan dengan P digunakan Pulau Pinang.
Sesuatu yang tidak diketahui ramai pihak khasnya generasi muda, plat W pernah digunakan kenderaan di Seberang Perai sebelum 1957 yang merujuk kepada nama rasmi lamanya iaitu Wellesley Province. –Kedahnews.com