Krisis Pakatan Selangor: Mungkin Semua Exco PAS Dipecat?

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
PETALING JAYA - Ahli Exco Selangor dari PAS diminta meletak jawatan pada Isnin jika parti itu masih tetap dengan pendirian untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar.

Kata dua itu dilaungkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu PKR bertanding di kerusi tersebut.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menujukkan kata dua itu kepada Datuk Iskandar Samad yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan beberapa exco PAS yang lain iaitu Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib selepas mesyuarat Exco di sini Rabu.

Namun, sumber PAS Selangor berkata kepimpinan tertinggi parti memutuskan untuk terus bertanding selepas mengadakan mesyuarat dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediamannya di Rusila, Terengganu.

Tiga ahli exco Selangor dan beberapa pemimpin parti itu telah berlepas ke Terengganu pada Rabu untuk mengadakan mesyuarat tergempar.

"Presiden kami tetap dengan keputusan jawatankuasa pusat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu," kata sumber PAS Selangor.

Hadi yang juga Presiden PAS mengarahkan ketiga-tiga ahli exco itu supaya tidak meletak jawatan.

Beliau berkata parti itu bersedia untuk digugurkan daripada kerajaan negeri.

Semasa mesyuarat dengan ahli exco PAS, Azmin berkata PKR mempunyai peluang cerah untuk menentang Umno di Sungai Besar.

Jelasnya, PKR boleh mendapat sokongan undi Melayu dan Cina manakala PAS dan Amanah akan memberi kemenangan mudah kepada Umno.

Azmin memberi jaminan bahawa beliau akan berunding dengan pemimpin Pakatan Harapan untuk memberi laluan kepada PAS bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau juga berjanji bahawa PAS akan diberi kerusi Parlimen Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

PKR bertanding tetapi tewas di kerusi Parlimen Sabak Bernam pada 2013.

Sumber: mStar