KRU Music Perlejas Isu "Bayaran Murah" Kepada Caliph Buskers

Caliph Buskers
Sebelum ini, terdapat dakwaan mengatakan bahawa bayaran yang diberikan kepada Caliph Buskers selepas membuat persembahan adalah sedikit dan pihak KRU tidak terkecuali terkena tempias tersebut.

Sehubungan itu Ketua Eksekutif KRU Music, Rizal Sahimy menjelaskan bahawa Calpih Buskers bergerak sendiri dan bukan diuruskan oleh KRU Music kerana mereka hanya mempunyai kontrak eksklusif bagi rakaman muzik sahaja.

Tambahnya sepanjang KRU Music menguruskan Caliph Buskers, segala bayaran yang diterima bagi setiap acara adalah mengikut persetujuan yang sudah diputuskan bersama.

“Jika ada pelanggan yang menghubungi KRU untuk mendapatkan perkhidmatan Caliph Buskers, KRU Music akan bertanya tentang harga terlebih dahulu dan sebarang bayaran yang dikenakan adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Katanya, setiap individu dalam kumpulan tersebut menerima bahagian yang sama rata selepas caj pengurusan yang dipersetujui ditolak.

“Harga minimum adalah sekitar RM3,000 hingga RM10,000 (mengikut jumlah lagu). Kebanyakan persembahan Caliph Buskers adalah sekitar RM6,000 bagi setiap persembahan.

“Bayaran sebanyak RM800 setiap seorang itu adalah separuh benar (half truth) apabila mereka mendapat bayaran sebanyak RM6,000 untuk membuat persembahan.

“Selepas tolak kos pengurusan, wang bagi Caliph Buskers dibahagi kepada lima dan setiap seorang akan menerima RM840,” katanya yang menafikan dakwaan pihaknya membayar rendah kepada band berkenaan.

“Pendapatan Caliph Buskers mencecah RM600,000 sepanjang tahun lalu,” jelasnya. –Kedahnews.com