"Kucing Diracun" Di UTM? Ini Cerita Sebenarnya...


Baru-baru ini tersebar sekeping gambar di media sosial memaparkan sekumpulan kucing yang mati dikatakan diracun di perkarangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak di Kuala Lumpur.

Gambar menyedihkan itu mendapat pelbagai kritikan dari netizen, yang turut memohon penjelasan dari pihak universiti tersebut mengenai perkara sebenar.

Menangkis dakwaan tersebut, Pengarah Kampus UTM, Profesor Dr. Durrishah Idrus tampil memberi penjelasan berkenaan hal yang menimbulkan kegusaran orang ramai itu.


Menerangkan secara lanjut dalam laman sosial Facebooknya, Durrishah berkata pihaknya mendapati kehadiran anjing liar dalam kawasan kampus sehari sebelum kejadian yang memungkinkan kucing mati digigit anjing itu.

“Apa yang berlaku ialah sekumpulan anjing liar telah berjaya masuk dalam kawasan kampus, kemudiannya berjaya dihalau keluar.

“Ia berlaku sehari sebelum, iaitu senja ke malam. Bangkai kucing ditanam esoknya, dan memang ada kesan gigitan.

“Malangnya, ada orang yang ada akses kepada gambar menyebar cerita kucing diracun. Tak pernah berlaku kucing diracun di UTMKL.

“Malah ada ramai pencinta kucing yang memberi atau membelikan kucing makanan,” kata Durrishah.

Beliau juga menegaskan bahawa perkara tersebut telah selesai disiasat dan si penyebar berita palsu pula telah memohon maaf kepada UTMKL secara rasmi. –Kedahnews.com