Langkawi Destinasi Pelancongan Kelapan Terbaik Asia

Gambar Hiasan
KUAH – Pulau Langkawi merupakan destinasi pelancongan kelapan terbaik di benua Asia berdasarkan pandangan daripada pelancong asing ke pulau peranginan itu menerusi laman penyediaan maklumat pelancong, TripAdvisor.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli ketika mendedahkan perkara tersebut berkata, sebelum ini Langkawi hanya menduduki tangga kesepuluh antara paling baik di Asia.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan pangkalan nelayan Sungai Kuah bernilai lebih RM2 juta di sini, beliau berkata LADA sedang berusaha membawa lebih banyak pelancong ke pulau bebas cukai itu.

Antara usahanya termasuk berbincang dengan syarikat penerbangan. Beliau berkata sehingga kini terdapat 227 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur ke Langkawi berbanding lebih 100 penerbangan seminggu pada 2010.

Khalid malah berkata sebanyak 664,349 pelancong berkunjung ke Langkawi dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, meningkat 14.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu kira-kira 578,622 orang.

Langkawi satu-satunya daerah berpulau sepenuhnya di Kedah, kini menyasarkan kunjungan empat juta pelancong pada tahun ini berbanding 3.6 juta pelancong dicatatkan sepanjang tahun lepas. – Agensi