Lapan Kawasan Di Zon Utara Hujan Hasil OPA

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Operasi Pembenihan Awan (OPA) berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang menyasarkan di zon utara, berjaya menghasilkan hujan semalam.

Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), kawasan sasaran terlibat adalah empangan Air Itam, Pulau Pinang; empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang; empangan Bukit Merah, Perak; kawasan tadahan Bukit Larut, Perak; empangan Air Kuning, Perak; empangan Beris, Kedah; empangan Ahning, Kedah dan empangan Timah Tasoh, Perlis.

Hujan juga dilaporkan pada 16 Mei di Kota Baharu, Kelantan, setelah kawasan berkenaan tidak menerima hujan selama 43 hari berturut-turut.

“Kawasan yang mencatat bilangan hari tanpa hujan secara berturut-turut paling lama kini berlaku di Besut, Terengganu iaitu selama 31 hari, diikuti Kudat, Sabah selama 13 hari,” katanya.

Sehingga 4 petang tadi, tiada bacaan suhu tertinggi melebihi 37 darjah celsius direkodkan di negara ini, dan bacaan tertinggi dicatatkan ialah di Batu Embun, Pahang iaitu 36.8 darjah celsius. – BERNAMA